Rabu, 22 April 2020 | 10:30pm

Orang ramai perlu bersedia sesuaikan diri dengan normal baharu

KUALA LUMPUR: Selepas lebih sebulan menjalani kehidupan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang membantu mengekang penularan COVID-19 di negara ini, orang ramai diingatkan untuk bersedia menyesuaikan diri dengan normal baharu, selepas perintah itu ditarik balik.

Dekan Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, berkata selepas PKP, setiap orang perlu ingat bahawa virus itu belum lenyap sepenuhnya dan perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

“Saya ingin mengingatkan semua orang bahawa kehidupan tidak akan kembali kepada keadaan biasa. Ini (COVID-19) ialah virus yang amat mudah dijangkiti dan 98 peratus penduduk tidak mempunyai imuniti terhadapnya.

“Dan jika kita kembali mengadakan perhimpunan membabitkan ramai orang, tidak mengamalkan kebersihan diri dan jarak sosial, kita akan kembali kepada keadaan sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program webinar ‘Research for Social Advancement’ (REFSA) bertajuk “COVID-19: Crisis Preparedness and the Whole-of-Society Response” menerusi aplikasi Zoom Cloud Meeting hari ini.

Selain PKP, Dr Adeeba berkata, negara akan dapat mengendalikan wabak itu lebih baik dengan memahami cara penularan dan sejarah asal usul penyakit itu, dengan mengambil kira semua iktibar daripada apa yang dilakukan virus itu dalam tempoh tiga hingga empat bulan lalu.

Berhubung pengasingan orang ramai, beliau menjadikan Singapura sebagai contoh baik, iaitu kes jangkitan yang sihat dan tidak mempunyai komplikasi dikendalikan dalam komuniti daripada memasukkan setiap daripada mereka ke hospital.

“Ia (Singapura) menyaksikan ratusan kes setiap hari tetapi nasib baik banyak daripada kes itu ialah mereka yang cergas, sihat dan pekerja asing muda.

“Diharapkan PKP kita akan menamatkan ancaman COVID-19, tetapi sekiranya kita sekali lagi berdepan kluster-kluster besar, dengan itu kita sudah bersedia dari segi mempunyai pusat-pusat untuk pesakit yang sihat (simptom biasa) dan khususkan hospital-hospital untuk mereka yang berisiko mendapat komplikasi serius,” katanya.

Peserta lain dalam webinar dengan Pengarah Penyelidikan REFSA, Ivy Kwek selaku pemudahcara ialah Pengarah dan Pengasas Bersama Geutanyoë Foundation, Lilianne Fan, dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Dr Md Amin Muslan. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X