X
Jumaat, 24 April 2020 | 5:33pm
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin

COVID-19: Kit ujian perlu ada ketepatan tinggi - KJ

KUALA LUMPUR: Syarikat tempatan yang mempunyai keupayaan kit ujian boleh membuat tawaran kepada kerajaan, tetapi ketepatan dan sensitiviti kit mereka adalah penting, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin hari ini.

"Jika anda mempunyai kit ujian (untuk COVID-19), kit ujian antibodi, sila hubungi kami kerana kami mempunyai Institut Penyelidikan Perubatan di Kementerian Kesihatan," katanya, sambil memaklumkan bahawa kerajaan sudah menguji semua kit yang dipasarkan sejak awal wabak coronavirus.

Bagaimanapun, kebanyakan kit ujian tersebut mempunyai kadar sensitiviti yang kurang daripada 50 peratus.

"Kami enggan menggunakannya. Kami ada berjumpa dengan satu kit ujian di Korea Selatan, kadar sensitiviti dan spesifikasi adalah melebihi daripada 90 peratus.

"Saya rasa ramai orang mahu mengambil kesempatan kerana ini adalah peluang perniagaan. Tetapi bagi saya dan untuk kerajaan, sains akan menang. Jika kit ujian tidak berfungsi, maka mereka gagal," katanya semasa perbincangan dengan Dewan Perniagaan dan Industri EU-Malaysia di sini, hari ini.

Dalam perbincangan selama 90 minit itu, beliau juga berkata, Malaysia mengalu-alukan cadangan mengenai aplikasi pengesanan perhubungan COVID-19 memandangkan teknologi semasa yang menggunakan Bluetooth mempunyai had.

Khairy ketika ditanya mengenai bitcoin dan mata wang kripto, berkata ia sedang dimajukan di tengah-tengah kebimbangan, bagaimanapun teknologi dibelakang 'blok rantai', mempunyai kelebihan.

"Saya fikir teknologi blok rantai (teknologi di sebalik mata wang kripto) akan menjadi teknologi terpenting dalam dunia pasca COVID-19. Ia akan mempercepatkan sesetengah sektor memandangkan blok rantai memberikan lebih banyak ketelusan.

"Ia membolehkan penjejakan hubungan, terutamanya dalam pergerakan barangan serta perkhidmatan dengan cara yang lebih telus, yang akan menyebabkan penggunaan yang lebih baik bagi pelepasan kastam dan pembiayaan perdagangan," katanya.

Menteri itu juga mengambil kesempatan untuk menjelaskan keperluan untuk mesyuarat secara berhadapan.

"Ada mesyuarat yang dibuat dalam talian, mesyuarat yang lebih sensitif perlu diadakan secara bersemuka kerana kami bimbang mengenai keselamatan siber dan keupayaan perlindungan data panggilan video, terutamanya dalam masa sekarang," katanya berikutan dakwaan di media sosial mengenai mesyuarat secara bersemuka yang telah dijalankan kementerian.

Beliau memberi jaminan bahawa penjarakan sosial diamalkan semasa mesyuarat tersebut. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X