X
Jumaat, 24 April 2020 | 6:45pm

COVID-19: KKM sedia untuk kerjasama fasa ketiga dengan China

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan bersedia untuk menjadi rakan kerjasama dengan China bagi penyelidikan klinikal mencari vaksin untuk merawat virus COVID-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata China kini sedang memasuki fasa kedua penyelidikan klinikal mencari vaksin dan keputusan sama ada vaksin berkenaan berkesan atau sebaliknya akan diperoleh antara November atau Disember ini.

Sekiranya fasa kedua penyelidikan vaksin terbabit dilihat menunjukkan keputusan yang memberangsangkan, KKM bersedia untuk bekerjasama pada fasa ketiga penyelidikan.

"Pelbagai perkara dibincangkan bersama pakar China yang datang ke negara ini, antaranya mengenai kesihatan awam serta mengenai vaksin yang berkemungkinan dapat mencegah penularan virus berkenaan.

"Selain itu kami turut membincangkan mengenai penggunaan ubatan, seperti apa ubat yang digunakan untuk merawat pesakit, impak serta kesan sampingannya. Ini adalah virus baharu dan banyak negara masih kurang berpengalaman dari segi mengendalikannya.

"Saya rasa sesi perbincangan yang diadakan bersama pakar China ini sangat menarik kerana mereka lebih dua bulan ke hadapan dari negara lain dan mempunyai pengalaman mengendalikan wabak berkenaan," katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini.

Gambar fail 21 April: Warga China memakai topeng muka di Beijing. - Foto AFP
Gambar fail 21 April: Warga China memakai topeng muka di Beijing. - Foto AFP
Berita Harian X