Jumaat, 24 April 2020 | 9:45pm
 Pesakit strok, Ishak Darus, 77, atau Pak Aq, dibantu orang ramai yang membawanya masuk ke rumah baharu selepas mendapat rawatan di hospital.
Pesakit strok, Ishak Darus, 77, atau Pak Aq, dibantu orang ramai yang membawanya masuk ke rumah baharu selepas mendapat rawatan di hospital.

Ustaz Ebit tak bersalah - anak Pak Aq

ALOR SETAR: "Ustaz tak bersalah, beliau menyantuni kami sekeluarga dengan baik dan kami tidak rasa pun dia aibkan keluarga kami yang sememangnya dari dahulu berkeadaan begitu," kata Siti Nor Saadiahton Ishak.

Wanita berusia 25 tahun itu, berkata dia sangat sedih apabila mendapat tahu pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew, akan berhenti daripada membantu golongan miskin secara langsung sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan hari ini.

Katanya, jika keterangan itu membabitkan kes tular mengenai bantuan kepada keluarganya, dia berdoa semoga Allah membuka jalan dan rezeki yang lebih luas buat Ebit membantu golongan yang memerlukan selepas ini.

"Sesiapa pun yang membuat laporan akibat tidak berpuas hati dengan tindakan Ustaz, ketahuilah bahawa kehadiran Ustaz ke rumah kami tempoh hari membawa sinar baharu untuk keluarga saya berubah.

"Selama ini kami sekeluarga hargai setiap bantuan yang diberikan kerajaan negeri, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), penduduk kampung dan ahli jawatan kuasa masjid, bantuan yang diberikan sangat banyak dan kami bersyukur dengan pertolongan semua pihak.

"Kemudian Allah aturkan pula pertolongan daripada Ustaz yang sememangnya pada ketika itu kami sekeluarga mahu berpindah, tiada siapa yang bersalah dan kami menerima bantuan daripada sesiapa pun dengan hati terbuka," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Anak ke enam daripada 10 beradik ini, berkata dia sangat mengharapkan semua pihak berlapang dada dan tidak menganggap kes tular keluarganya itu memalukan sesiapa atau pihak tertentu.

Katanya, sehingga kini ahli keluarganya sangat berharap Ebit dapat kembali ke rumah sewa baharu mereka berikutan mereka sangat 'dahagakan' nasihat dan kata-kata semangat daripada beliau.

"Anak-anak saudara saya sendiri sejak jumpa Ustaz Ebit Lew tak pernah lekang daripada mulut mereka menyebut nama Ustaz, mereka berulang menyuarakan mahu ke sekolah dan jadi seperti Ustaz apabila dewasa nanti.

"Kami sudah lali dihina orang. Namun kehadiran Ustaz memberi sinar untuk keluarga kami menjadi lebih baik, saya doakan Ustaz tak putus asa dan percayalah lebih ramai di luar sana masih memerlukan Ustaz.

"Semoga Allah memelihara dan melindungi Ustaz selalu," kata anak kepada pasangan, Jamaliah Rejab, 54, dan Ishak Darus, 77, itu.

Keluarga Ishak atau lebih dikenali sebagai Pak Aq, sebelum ini tinggal secara bersesak dalam sebuah rumah daif di Lorong Gedebang dekat Jalan Langgar, Alor Setar sejak sekian lama.

Bagaimanapun, mereka berjaya dipujuk Ebit untuk berpindah ke kediaman baharu yang disewa oleh pendakwah itu, yang lebih selesa terletak di Lorong Fajar, Jalan Sultanah di Alor Setar, Isnin lalu.

Berita Harian X