Sabtu, 25 April 2020 | 8:51am
Aplikasi Gerak Malaysia yang boleh dimuat turun oleh perantau yang mahu kembali dari kampung halaman ke bandar mulai 1 hingga 3 Mei ini.
Aplikasi Gerak Malaysia yang boleh dimuat turun oleh perantau yang mahu kembali dari kampung halaman ke bandar mulai 1 hingga 3 Mei ini.

PKP: 1 hingga 3 Mei untuk perjalanan antara negeri

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan tiga hari untuk orang ramai melakukan pergerakan antara negeri (inter-state) untuk tujuan yang dibenarkan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), iaitu antara 1 sehingga 3 Mei depan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata mereka yang layak boleh mengemukakan permohonan untuk membuat pergerakan antara negeri mulai 26 April melalui aplikasi Gerak Malaysia.

"Bagi yang tidak mempunyai aplikasi Gerak Malaysia, mereka perlu membuat permohonan bertulis untuk mendapatkan kebenaran perjalanan di balai polis berdekatan, namun keutamaan perjalanan akan diberikan kepada pengguna aplikasi Gerak Malaysia.

"Bagi yang membuat permohonan menerusi aplikasi Gerak Malaysia pada 26 April (esok), mereka perlu mengemas kini permohonan pada 29 April untuk mengesahkan destinasi perjalanan dan pada 1 Mei, mereka boleh membuat semakan status permohonan di aplikasi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, tempoh pergerakan antara negeri yang dibenarkan adalah antara 1 hingga 3 Mei depan dan pengguna jalan raya dikehendaki merancang perjalanan mereka mengikut syarat yang ditetapkan.

"Bagi mereka yang menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), adalah diingatkan bahawa, tiada sebarang kemudahan makanan disediakan di kawasan rehat dan rawat (R&R).

"Surau-surau akan ditutup dan sebarang aktiviti solat berjemaah di R&R tidak dibenarkan termasuklah di dalam mana-mana bangunan, kawasan lapang, tempat letak kereta dan lain-lain," katanya.

Huzir berkata, hanya fasiliti tandas sahaja awam sahaja yang dibenarkan beroperasi. Kawasan meletak kenderaan hanya dibenarkan untuk tujuan rehat dan pengguna lebuh raya tidak dibenarkan keluar daripada kenderaan semasa dalam tempoh rehat kecuali untuk menggunakan tandas awam.

Stesen minyak hanya akan beroperasi antara jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam di sepanjang lebuh raya dan dilarang melalukan sebarang aktiviti secara berkumpulan dalam tempoh perjalanan.

"Satu kenyatan media berhubung tatacara pendaftaran aplikasi Gerak Malaysia akan dikeluarkan pada hari ini dan diikuti dengan satu sidang media pada 29 April mengenai pergerakan mengikut negeri bagi memastikan perjalanan mereka lancar dan teratur," katanya.

Rabu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, rakyat yang berada di kampung dan ingin pulang ke kediaman masing-masing perlu membuat permohonan dan pendaftaran kepada polis.

Katanya, setiap keluarga wajib mendaftar dan membuat permohonan bagi membolehkan pihak berkuasa membuat perancangan.

Mereka yang mendaftar perlu mengemukakan nama, berapa jumlah ahli keluarga dan lokasi tempat untuk dituju, dari kampung mana, zon merah atau hijau dan sebagainya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X