Sabtu, 25 April 2020 | 1:51pm
Semua masjid di Pulau Pinang kini dibenarkan buka kaunter zakat fitrah
Semua masjid di Pulau Pinang kini dibenarkan buka kaunter zakat fitrah

COVID-19: Masjid di Pulau Pinang boleh buka kaunter zakat fitrah

GEORGETOWN: Semua masjid di seluruh Pulau Pinang kini boleh melakukan pungutan zakat fitrah di tempat masing-masing, dengan syarat mematuhi langkah pencegahan COVID-19.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Zulkiffli Long, berkata pihaknya tiada halangan terhadap aktiviti pungutan zakat fitrah itu walaupun ketika ini semua masjid masih diarah tutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, antara syarat yang perlu dipatuhi ialah aktiviti pungutan zakat hanya dilakukan di kawasan parkir kenderaan berkhemah, bilik kuliah atau dewan seminar, bilik pentadbiran atau bilik lain yang bersesuaian.

"Pihak pengurusan masjid perlu memastikan ruang dan dewan solat utama sentiasa dikunci selain tidak membenarkan sesiapa mendirikan solat kecuali imam, bilal dan siak yang bertugas.

"Amil yang dilantik perlu mematuhi tatacara khas yang dikeluarkan Zakat Pulau Pinang (ZPP) sepanjang menjalankan aktiviti itu dengan mengutamakan keselamatan, kesihatan dan amalan penjarakan sosial," katanya kepada NSTP, hari ini.

Terdahulu, ZPP mencadangkan bagi mewujudkan kaunter pandu lalu dalam urusan pembayaran zakat sekiranya kawasan masjid tidak dapat digunakan, namun bergantung kepada pihak pengurusan masjid bagi menentukan tempat yang sesuai selain perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Manakala Jabatan Mufti Pulau Pinang pula menggalakkan orang ramai supaya melaksanakan pembayaran zakat fitrah tahun ini secara dalam talian sekiranya mereka mempunyai kemudahan bagi berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, amil zakat yang bertugas juga perlu menentukan hari yang sesuai bagi melakukan aktiviti kutipan dengan masa yang dibenarkan bermula 9 pagi hingga 7 malam.

Katanya, hebahan boleh dilakukan menerusi media sosial, aplikasi WhatsApp, sistem pesanan ringkas (SMS) atau medium lain yang bersesuaian.

"Pihak pengurusan masjid perlu membuat penandaan panduan beratur mengikut penjarakan sosial satu meter.

"Amil zakat juga perlu mendapatkan khidmat nasihat dari balai polis berhampiran sekiranya jumlah kehadiran pembayar zakat melebihi 10 orang dalam satu masa," katanya lagi.

Berita Harian X