Sabtu, 25 April 2020 | 2:01pm
Pakar epidemiologi, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud. - NSTP/Azhar Ramli
Pakar epidemiologi, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud. - NSTP/Azhar Ramli

COVID-19: Larang pulang berhari raya di kampung

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengenakan larangan untuk umat Islam di negara ini pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri hujung bulan depan, bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Pakar epidemiologi, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, berpandangan larangan menerusi sekatan perjalanan rentas negeri seperti ketika ini, perlu dikekalkan ketika Hari Raya, sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih diteruskan atau sudah ditamatkan ketika itu.

Jelasnya, ia berikutan tindakan membenarkan perjalanan rentas negeri secara besar-besaran dalam tempoh terdekat, berisiko tinggi untuk mencetuskan ledakan penularan semula pandemik itu di negara ini.

"Adalah sangat berisiko tinggi kalau dibenarkan perjalanan rentas negeri sewaktu Aidilfitri yang hanya kira-kira empat minggu dari sekarang, iaitu satu tempoh yang sangat dekat.

"Risikonya adalah penduduk di kawasan bandar yang banyak kes positif COVID-19 seperti Kuala Lumpur dan Selangor, berkemungkinan membawa jangkitan itu pulang ke kampung, yang kebanyakannya memiliki jumlah kes sedikit atau kosong ketika ini.

"Perkara lebih membimbangkan ialah jika ibu bapa di kampung terkena jangkitan dan mereka berisiko serta sukar untuk pulih kerana faktor usia.

"Walaupun memang menjadi budaya rakyat Malaysia untuk kunjung-mengunjung dan mengadakan rumah terbuka ketika Aidilfitri, saya berpandangan kita perlu berkorban dan tidak amalkannya tahun ini," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan wajar membenarkan perjalanan rentas negeri sekiranya PKP dilonggar atau ditamatkan ketika Aidilfitri, bulan depan.

Selasa lalu, Kerajaan Indonesia melarang rakyatnya pulang ke kampung beramai-ramai menyambut Aidilfitri bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 dari Jakarta dan daerah berisiko yang lain.

Dr Awang Bulgiba berkata, antara kekhuatiran ketika ini ialah individu yang dijangkiti COVID-19 tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala, pulang ke kampung dan menziarahi sanak saudara, hingga mencetuskan kluster jangkitan baharu.

"Perkara seperti ini terbukti apabila ia berlaku di China dan Singapura, apabila individu yang dijangkiti dan tidak bergejala, mencetuskan jangkitan di kawasan lain.

"Selagi tiada vaksin dan ubat, selagi itulah risiko penularan pandemik ini kekal tinggi. Jadi, kita perlu berkorban tahun ini," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X