Sabtu, 25 April 2020 | 2:58pm

84 PATI ditahan cuba masuk melalui lorong tikus

PUTRAJAYA: Kerajaan sudah mengenal pasti dan terus memperhebatkan kawalan di semua lorong tikus di seluruh negara termasuk yang membabitkan laluan darat di Sarawak.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga, seramai 84 pendatang asing tanpa izin (PATI) sudah ditahan kerana menceroboh sempadan negara melalui laluan tikus.

Kerajaan menyedari kebimbangan rakyat mengenai kemasukan PATI walaupun pintu masuk sempadan negara sememangnya sudah ditutup untuk warga asing.

"Pihak berkuasa sudah mengenal pasti semua lorong tikus, sama ada di Semenanjung Malaysia, kawasan pesisir pantai di Sabah serta jalan darat di Sarawak dan kawalan di kawasan sempadan termasuk di lorong tikus diperketat dan diperhebatkan.

"Setiap agensi keselamatan terbabit dalam memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara terutamanya 'lorong tikus' bagi mengelak pendatang tanpa izin membolosi sempadan negara, sekali gus membendung penularan COVID-19 ke dalam negara," katanya selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, seramai 131 rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air sejak 3 April lalu dan menjalani kuarantin wajib disahkan positif COVID-19.

Justeru, tindakan mewajibkan individu yang pulang dari luar negara menjalani kuarantin adalah tepat berikutan ia terbukti berjaya membendung penularan COVID-19 dan mengekang wujudnya kluster baharu membabitkan kes import.

"Saya pernah sebutkan bayangkan jika 131 ini dibenarkan pulang dan menjalani kuarantin sendirian di rumah, ia akan mewujudkan kluster baharu di mana bukan sahaja mereka, tetapi boleh merebak kepada keluarga dan masyarakat.

"Sebab itu tindakan kita untuk mewajibkan kuarantin bagi rakyat yang pulang dari luar negara ialah tindakan tepat, " katanya.

Beliau berkata, seramai 1,794 rakyat Malaysia pulang ke tanah air pada Khamis (23 April) dikuarantin wajib dengan jumlah keseluruhan yang menjalani proses itu sejak 3 April lalu ialah seramai 19,945.

Sejak 17April lalu, seramai 6,778 individu sudah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang.

"Hingga semalam sebanyak 209 pusat kuarantin beroperasi berbanding 204 pada hari sebelumnya yang mana 16,633 individu sedang menjalani proses berkenaan, " katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • #taskid sendstory

    Kawalan ketat di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand, di Kelantan diperhebatkan ketika PKP. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
    Kawalan ketat di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand, di Kelantan diperhebatkan ketika PKP. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
    Berita Harian X