Sabtu, 25 April 2020 | 8:24pm
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA

COVID-19: Kit ujian pengesanan antigen dijangka tiba minggu hadapan

PUTRAJAYA: Kit ujian pengesanan antigen dari Korea Selatan yang ditempah Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini, dijangka sampai di negara ini minggu depan, berikutan berlaku kelewatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perbincangan masih dilaksanakan dan KKM sudah menempah sebanyak 200,000 unit kit itu.

"Kita sudah tempah 200,000 Kit ujian pengesanan antigen (yang) sepatutnya sampai semalam, tetapi ada kelewatan. Kita jangkakan mungkin akan sampai minggu hadapan.

"Bila kit berkenaan sampai, kita boleh gunakan untuk hospital kita," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Rabu lalu, media melaporkan bekalan kit ujian pengesanan antigen dari Korea Selatan yang mempunyai ketepatan hampir 100 peratus dalam mengesan jangkitan COVID-19 dijangka tiba di negara ini selewat-lewatnya minggu hadapan.

Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, ketika ini Wisma Putra sedang membantu untuk menyegerakan proses pembelian dan penghantaran kit ujian berkenaan masuk ke negara ini.

Beliau dilaporkan berkata, permintaan terhadap kit itu tinggi, kerajaan menggunakan proses kerjasama hubungan dua hala Malaysia-Korea Selatan untuk memudahkan urusan berkenaan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, setakat ini, Malaysia sudah melaksanakan laksanakan saringan atau ujian sampel terhadap 132,361 individu dengan seramai 5,742 atau 4.34 peratus didapati positif COVID-19.

Katanya, ia lebih baik berbanding tanda aras yang diletakkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 1 kes positif bagi setiap 10 kes yang disaring.

Beliau berkata, berdasarkan kepada tanda aras itu, jika ada lebih daripada satu kes bagi setiap 10 kes yang disaring, ia bermakna banyak lagi kes yang belum dikesan.

"Kita lihat keupayaan untuk menjalankan ujian makmal kita sudah mencapai sebanyak 16,385 menggunakan RT-pcr. Minggu depan jika kita dapat 200,000 kit ujian pengesanan antigen, kita akan dapat meningkatkan keupayaan ujian kita kepada 20,000 sehari.

"Tetapi berdasarkan kepada perbincangan kita dengan pasukan dari China, sebagaimana yang saya katakan semalam, di Guangzhou ada seramai 110 juta penduduk, saringan yang mereka lakukan sebanyak 30,000 sehari.

"Jadi kita sudah mencapai kira-kira 16,000 (ujian saringan) kes sehari, jadi dari segi pencapaian, kalau kita lihat memang memadai setakat ini," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X