Ahad, 26 April 2020 | 4:33pm

COVID-19: Jumlah kes sudah pulih atasi kes baharu

PUTRAJAYA: Kes pulih individu yang dijangkiti COVID-19 di negara ini terus memberikan perkembangan yang positif apabila mencatatkan jumlah tinggi mengatasi jumlah kes baharu individu yang dijangkiti wabak berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga jam 12 tengah hari tadi sebanyak 100 kes sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Katanya, berikutan pertambahan jumlah pesakit yang sudah pulih ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kumulatif kes sudah sembuh sebanyak 3,862 kes atau 66.8 peratus dari jumlah keseluruhan kes.

"Dalam pada itu, mengenai pertambahan kes baharu sebanyak 38 kes baharu dilaporkan ke Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jumlah kumulatif kes positif COVID-19 sebanyak 5,780 kes.

Dr Noor Hisham (dua dari kiri) bercakap ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA
Dr Noor Hisham (dua dari kiri) bercakap ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,820 kes dan kesemua mereka kini sudah diasingkan dan diberi rawatan.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 36 individu sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 15 individu memerlukan bantuan pernafasan.

Hari ini juga tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dan jumlah kes kematian kekal sebanyak 98 kes atau 1.70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X