Rabu, 29 April 2020 | 3:06pm

933 pelajar lagi pulang ke kampung hari ini, esok

KUALA LUMPUR: Seramai 933 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta swasta (IPTS) dijadualkan pulang ke kampung masing-masing, hari ini dan esok, membabitkan perjalanan zon sama di Zon Utara dan Zon Sarawak.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata 653 daripada pelajar terbabit adalah di Zon Utara, manakala 280 lagi Zon Sarawak.

"Pergerakan pelajar di Zon Utara akan membabitkan 44 bas ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

"Pelajar di Universiti Teknologi MARA, Universiti Utara Malaysia, politeknik dan IPTS di Zon Utara akan bertolak pada jam 2 petang, manakala penuntut dari Universiti Sains Malaysia pula pada jam 9 malam.

"Kita membuat penyesuaian dari segi masa kerana ia membabitkan jarak yang dekat, bagi memudahkan ibu bapa mengambil mereka di balai polis serta untuk pihak berkuasa di daerah menghantar mereka pulang.

"Bagi Zon Sarawak pula, ada dua pergerakan bermula hari ini dan esok di mana 42 pelajar di Sarawak dihantar pulang ke rumah masing-masing menggunakan dua bas dan sebuah van bertolak pada jam 9 pagi," katanya pada sidang media harian, di sini hari ini.

Beliau berkata, pelajar dari lima IPT di Zon Utara yang pulang ke Zon Tengah, malam tadi, sudah selamat tiba di rumah masing-masing dan setakat ini, tiada isu berbangkit mengenainya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X