Rabu, 29 April 2020 | 4:53pm

COVID-19: 94 kes baharu, 72 adalah kes import

PUTRAJAYA: Sebanyak 94 kes positif COVID-19 baharu dicatatkan hari ini yang mana 72 daripadanya adalah kes import membabitkan warganegara dan pelajar Malaysia yang baru pulang dari Indonesia manakala 22 kes lagi penularan tempatan.

Tiada kes kematian hari ini menjadikan jumlahnya kekal 100, tetapi jumlah kes baharu adalah lebih tinggi daripada yang pulih dan dibenarkan pulang iaitu 55.

Peningkatan kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif ialah 5,945 manakala kes sembuh keseluruhan ialah 4,087.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata hingga kini seramai 40 individu sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 18 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) KKM, dimaklumkan tiada pertambahan kes kematian dan jumlah kumulatif kes kekal sebanyak 100," katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X