X
Jumaat, 1 Mei 2020 | 11:20am
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat mulai 4 Mei

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.

Beliau berkata, dalam masa yang sama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terus dilaksanakan di kawasan zon merah.

"Dalam melaksanakan PKPB ini, aktiviti dan perhimpunan ramai yang mendedahkan risiko jangkitan COVID-19 masih tidak dibenarkan," katanya dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja hari ini.

Perdana Menteri berkata, langkah itu susulan dua daripada enam strategi dan perancangan kerajaan dalam memerangi wabak iaitu ketegasan dalam tindakan mengawal COVID-19 dan membina ketahanan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin telah membuahkan hasil.

Beliau berkata, pengorbanan sepanjang PKP tidak sia-sia berikutan jumlah kes baharu COVID-19 turun, manakala kes sembuh meningkat.

Beliau berkata kerajaan sedia membuka semula aktiviti ekonomi secara terkawal dan berhati-hati di bawah PKPB.

"Sektor yang akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bermula 4 Mei ini.

Beliau berkata mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, Majlis Keselamatan Negara dan Jemaah Menteri telah mengadakan perbincangan secara panjang lebar dalam mencari jalan mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak COVID 19.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terus dilaksanakan di kawasan zon merah. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terus dilaksanakan di kawasan zon merah. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

"Atas nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat," katanya.

Muhyiddin berkata, senarai lengkap perniagaan atau aktiviti yang tidak dibenarkan boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara.

Selain itu, katanya, aktiviti riadah dan sukan membabitkan perhimpunan ramai seperti bola sepak masih tidak dibenarkan kerana ia mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X