Jumaat, 1 Mei 2020 | 10:13pm

Polis tumpu pematuhan penjarakan sosial, kurangkan sekatan jalan raya

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengurangkan sekatan jalan raya dan menumpukan kepada pematuhan penjarakan sosial selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata bermula Isnin ini polis akan meningkatkan penguatkuasaan terhadap pematuhan penjarakan sosial sebagaimana diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, dengan arahan terbaru itu juga, beberapa lokasi sekatan jalan raya (SJR) turut akan diubah ke lokasi-lokasi lain yang selama ini menjadi laluan kegiatan penyeludupan membawa masuk pendatang tanpa izin (PATI) dan aktiviti penyeludupan.

"Selaras dengan arahan terbaru kerajaan ini juga kita (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meningkatkan kawalan ke laluan utama yang digunakan oleh tekong-tekong (pengendali penyeludupan manusia) untuk membawa masuk PATI.

"Laluan berkenaan akan diperkasakan dengan SJR serta dikawal ketat bagi memastikan tujuan utama kita ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini untuk mengekang penularan wabak COVID-19," katanya selepas melawat penugasan PDRM dan ATM di SJR Jalan Rawang-Kuala Lumpur.

Beliau berkata pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan untuk membenarkan pengoperasian industri perkilangan semasa PKP dilaksanakan namun akan terus melakukan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap semua aktiviti bagi memastikan pematuhan penjarakan sosial dipatuhi.

Terdahulu, Abdul Hamid membuat lawatan mengejut di SJR Jalan Rawang-Kuala Lumpur oleh pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bersama pegawai dan anggota ATM di kedua-dua hala bagi meninjau anggota terbabit berbuka puasa.

Abdul Hamid turut meluangkan masa hampir sejam berbuka puasa bersama-sama pegawai dan anggota PDRM serta ATM di lokasi berkenaan diiringi Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, timbalannya serta Penglima 11 Briged, Brig Jen Norsham Md Tap.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Berita Harian X