Sabtu, 2 Mei 2020 | 9:05am
Petugas kesihatan menggunakan alat penyukat suhu badan untuk mengesan penumpang dan pelajar yang kurang sihat yang baru tiba di Lapangan Terbang Sandakan. Foto BERNAMA
Petugas kesihatan menggunakan alat penyukat suhu badan untuk mengesan penumpang dan pelajar yang kurang sihat yang baru tiba di Lapangan Terbang Sandakan. Foto BERNAMA

PKP: Pelajar Sabah dari Semenanjung, Sarawak hanya perlu kuarantin kendiri

KOTA KINABALU: Sabah memberi pengecualian kepada pelajar negeri ini yang pulang dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak daripada menjalani kuarantin di pusat kuarantin ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4 yang sedang berkuat kuasa.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata semua pelajar terbabit hanya perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing dengan mematuhi garis panduan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS ).

"Pelajar terbabit hanya perlu menjalani kuarantin di rumah masing-masing untuk tempoh 14 hari dan ibu bapa atau penjaga hendaklah bertanggungjawab mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh pihak JKNS.

"Bagaimanapun pelajar dari zon merah atau yang bergejala akan ditempatkan di pusat kuarantin untuk tempoh 14 hari, tertakluk kepada penilaian JKNS ketika ketibaan mereka," katanya dalam kenyataan media pagi ini.

Shafie berkata, pengecualian sama turut diberikan kepada pelajar di bawah tajaan Biasiswa Yayasan Sabah.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan penghantaran pulang pelajar ke Sarawak dan Sabah dari Semenanjung bermula semalam.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X