Ahad, 3 Mei 2020 | 2:34pm
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA

PKPB: Empat sekeluarga serumah boleh naik satu kenderaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan membenarkan kenderaan persendirian membawa maksimum empat penumpang, dengan syarat mestilah daripada keluarga dan rumah yang sama, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata isu penjarakan sosial tidak timbul dalam kalangan keluarga yang tinggal serumah, justeru tiada masalah mereka menaiki kenderaan persendirian bersama.

"Mungkin ada yang cuba bawa kawan, ada yang ingkar. SOP (prosedur operasi standard) ini mesti dipatuhi dan sesiapa yang melanggarnya akan dikenakan tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP di Putrajaya, hari ini.

Menerusi penguatkuasaan PKP fasa satu, dua dan tiga yang bermula 18 Mac lalu, hanya seorang iaitu ketua keluarga dibenarkan untuk keluar bagi membeli barangan keperluan.

Kerajaan memberi sedikit kelonggaran di bawah PKP fasa empat yang bermula 29 April lalu, dengan membenarkan dua orang bergerak dalam satu kenderaan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X