X
Ahad, 3 Mei 2020 | 5:11pm
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (PIKS), Tan Sri Lee Lam Thye.FOTO/NSTP/NIK HARIFF HASSAN
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (PIKS), Tan Sri Lee Lam Thye.FOTO/NSTP/NIK HARIFF HASSAN

COVID-19: Pastikan tempat kerja selamat

KUALA LUMPUR: Semua majikan disaran mengambil langkah keselamatan yang perlu sebelum memulakan operasi dan perniagaan masing-masing selaras dengan kelonggaran diberikan kerajaan menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Perintah Bersyarat (PKPB) bermula esok.

Ini dalam memastikan tempat bekerja adalah selamat untuk semua pekerja dan terhindar daripada sebarang risiko yang tidak diperlukan termasuklah ancaman jangkitan COVID-19.

Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata majikan perlu memastikan semua langkah keselamatan diambil sebelum operasi kerja bermula kembali dan bukannya membuka semula operasi kerja secara melulu.

"Majikan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengamalkan penjarakan sosial dengan tidak menetapkan semua kakitangan perlu kembali ke tempat kerja.

"Ini kerana majikan boleh memberi kebenaran untuk sebahagian lagi kakitangan bekerja dari rumah sehingga wabak COVID-19 ini tamat untuk melaksanakan amalan penjarakan sosial," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang ada di semua tempat bekerja atau syarikat perlu memfokuskan pencegahan COVID-19 sebagai prosedur tambahan dalam mempromosi keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

"JKKP perlu melihat beberapa perkara dalam memerangi COVID-19 di tempat kerja iaitu memastikan semua langkah keselamatan diambil sebelum memulakan semula kerja dan memastikan pematuhan terhadap semua SOP di semua tempat kerja.

"Selain itu, JKKP perlu mengenal pasti penyelesaian dan merancang ciri keselamatan dan prosedur kerja yang selamat di tempat kerja sebagai sebahagian daripada normal baharu," katanya.

Tambah Lam Thye, JKKP juga perlu memastikan pekerja diberikan peralatan perlindung diri yang mencukupi dalam mencegah COVID-19 dan risiko pekerjaan yang lain.

"Jawatankuasa itu turut perlu mempromosi kesihatan mental dalam kalangan semua pekerja dan mendidik mereka mengenai cara-cara menangani masalah kesihatan mental.

"Usaha memerangi COVID-19 kini turut menjadi tanggungjawab semua majikan dengan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan tempat kerja yang selamat selain inisiatif setiap pekerja untuk menjaga keselamatan dirinya sendiri," tambahnya.

Katanya, perang menentang COVID-19 belum berakhir dan kita belum memenangi peperangan ini, justeru semua pihak tidak boleh terleka walaupun seketika.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X