Ahad, 3 Mei 2020 | 6:04pm
Larangan beribadah di surau dan masjid dalam tempoh ini tidak bermakna umat Islam melanggar perintah Allah, sebaliknya ia tanda umat mentaati syariat agama iaitu mentaati pemerintah. - Foto hiasan
Larangan beribadah di surau dan masjid dalam tempoh ini tidak bermakna umat Islam melanggar perintah Allah, sebaliknya ia tanda umat mentaati syariat agama iaitu mentaati pemerintah. - Foto hiasan

COVID-19: Masjid, surau tidak dianaktiri dalam PKPB

KUALA LUMPUR: Masjid dan surau tidak 'dianaktirikan' apabila solat fardu berjemaah serta solat Jumaat di situ tetap dilarang ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sebaliknya, larangan itu bertujuan melindungi umat Islam daripada dijangkiti COVID-19 selain mengelak agama Islam menjadi mangsa fitnah seandainya berlaku jangkitan baharu yang berpunca daripada aktiviti di surau atau masjid.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad menjelaskan, larangan itu dikuatkuasakan ketika negara berada dalam keadaan 'darurat' akibat penularan wabak COVID-19.

Katanya, umat Islam perlu memahami yang larangan itu bukan menyebabkan umat Islam dilarang beribadah sama sekali, sebaliknya hanya dilarang dilakukan di surau dan masjid.

"Kefahaman orang kita sekarang, kononnya umat Islam hilang keberkatan dan pahala beribadah apabila dilarang ke surau dan masjid untuk solat berjemaah.

"Sebenarnya tidak begitu. Dalam keadaan biasa sebelum ini, memang ia digalakkan syarak. Akan tetapi sekarang dalam keadaan darurat, ia hanya dibuat di rumah, namun masih mendapat ganjaran," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas mengenai rasa tidak senang umat Islam yang menyifatkan umat Islam dinafikan hak beribadah di surau atau masjid walaupun kerajaan melaksanakan PKPB mulai esok.

Menerusi PKPB, beberapa sektor ekonomi dan sosial mula dilonggarkan kepada orang ramai termasuk perniagaan, industri dan aktiviti riadah namun tidak bagi kegiatan keagamaan.

Mohd Yusof menjelaskan, larangan beribadah di surau dan masjid dalam tempoh ini tidak bermakna umat Islam melanggar perintah Allah, sebaliknya ia tanda umat mentaati syariat agama iaitu mentaati pemerintah.

Katanya, dengan mentaati perintah pihak pemerintah, ia dapat mengelak Islam dan umatnya daripada ditimpa fitnah sehingga memburukkan imej Islam pada kaca mata masyarakat.

"Kalau dibenarkan berjemaah di surau dan masjid, bimbang berlaku pula jangkitan. Nanti ada orang kata ia kluster masjid. Sebelum ini ada kluster Seri Petaling. Ini semua boleh jadi punca orang menyalahkan Islam," katanya.

Beliau turut menegaskan, walaupun terikat dengan larangan itu, surau dan masjid sudah menikmati PKPB kerana ada pegawai yang dipertanggungjawab untuk melaungkan azan dan mendirikan solat berjemaah setiap waktu solat.

Sementara itu, Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan, Prof Emeritus Datuk Dr Zakaria Stapa berkata, larangan itu bukan menafikan hak orang Islam beribadah, sebaliknya mengutamakan aspek pencegahan jangkitan wabak COVID-19.

Katanya, isu kritikal yang menjadi kebimbangan kerajaan dan juga ahli agama dalam isu ini ialah bagaimana hendak memastikan umat Islam dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP apabila berada di surau dan masjid.

"Ia menyentuh soal pematuhan terhadap penjarakan sosial. Sejauh mana jemaah dapat mematuhi SOP ditetapkan untuk mengurangkan risiko jangkitan sedangkan kerajaan mahu memutuskan rantaian wabak ini.

"Kalau di pasar raya, kilang atau pusat beli belah, ada pengawal yang boleh memantau, tetapi di surau atau masjid agak sukar untuk memantau dan mengawal," katanya.

Beliau berkata, umat Islam juga harus memahami PKPB yang dilaksanakan kerajaan adalah menyentuh secara langsung kepentingan ekonomi negara dan rakyat secara menyeluruh.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X