Selasa, 5 Mei 2020 | 11:18am
Pemilik Restoran Lan Bayu, Ruslan Abdul Rahman (kanan) meletakkan pita pelekat berbentuk 'X' menanda meja itu dilarang duduk untuk mengekalkan jarak sosial. - Foto hiasan
Pemilik Restoran Lan Bayu, Ruslan Abdul Rahman (kanan) meletakkan pita pelekat berbentuk 'X' menanda meja itu dilarang duduk untuk mengekalkan jarak sosial. - Foto hiasan

PKPB: Soalan lazim berkaitan operasi sektor makanan di Wilayah Persekutuan

A. SEKTOR MAKANAN: KLUSTER PERNIAGAAN BERPREMIS

1. Apakah jenis premis makanan bagi kluster perniagaan berpremis yang dibenarkan oleh kerajaan untuk beroperasi mulai 4 Mei 2020?

▪ Restoran

▪ Medan selera / pusat penjaja

▪ Gerai makan tepi jalan (berbumbung) / kiosk

Pembukaan sektor-sektor ekonomi akan dilakukan secara berperingkat, melainkan sektor-sektor yang dinyatakan dalam Senarai Aktiviti Yang Dilarang. Semua sektor perniagaan makanan berpremis dibenarkan untuk dibuka semula dan beroperasi berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

2. Apakah waktu operasi yang dibenarkan bagi perniagaan makanan berpremis di Wilayah Persekutuan?

Pelanggan boleh hadir mulai jam 7 pagi hingga 10 malam sahaja pada setiap hari. Bagaimanapun, pengusaha perniagaan makanan berpremis di Wilayah Persekutuan dibenarkan hadir mulai jam 5 pagi hingga 12 tengah malam bagi kerja-kerja pembersihan.

3. Apakah arahan yang wajib dipatuhi oleh setiap peniaga / penjaja berpremis semasa menjalankan perniagaan?

Peniaga perlu memastikan keperluan pendidikan pekerja berhubung kebersihan dan kesihatan peribadi serta kebersihan premis. Ini termasuk keperluan merekod kehadiran pekerja dengan mengambil kira butiran nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon serta suhu badan pekerja dan pelanggan pada setiap hari mereka menjalankan perniagaan.

Selain itu, perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian dan penekanan:

▪ Mengambil dan merekod suhu badan pekerja pada awal waktu bekerja.

▪ Menyusun meja dengan jarak 2 meter antara meja bagi membolehkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter.

▪ Setiap meja tidak melebihi empat orang.

▪ Premis/peniaga perlu menyatakan dengan jelas bilangan pelanggan yang dibenarkan pada satu-satu masa untuk memenuhi keperluan penjarakan sosial.

▪ Mewajibkan penggunaan cecair pembasmi kuman pada tangan berasaskan alkohol atau menyediakan kawasan mencuci tangan dengan sabun

▪ Menggalakkan penggunaan peralatan makanan mudah urai (biodegradable) pakai buang

▪ Menggunakan cecair pencuci dengan kandungan 'sodium hypochlorite' mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

4. Adakah perniagaan makanan berpremis di zon merah dan zon kuning boleh beroperasi di Wilayah Persekutuan mulai 4 Mei 2020?

Semua perniagaan makanan berpremis di zon merah dan zon kuning dalam Wilayah Persekutuan sememangnya beroperasi secara 'take away'. Perkhidmatan 'dine in' adalah tidak digalakkan dan tertakluk kepada pengiraan radius jarak minimum 1 meter.

B. SEKTOR MAKANAN: KLUSTER PERNIAGAAN/PENJAJAAN TANPA PREMIS

5. Apakah jenis premis makanan bagi kluster perniagaan/penjajaan tanpa premis yang dibenarkan oleh kerajaan untuk beroperasi mulai 4 Mei 2020?

▪ Kenderaan saji (Food Truck)

▪ Penjaja beredar

▪ Penjaja tepi jalan (sementara)

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, aktiviti pasar malam, pasar terbuka dan bazaria tidak dibenarkan beroperasi. Tamu Labuan Walk, pasar malam, penjaja statik dan karnival jualan juga tidak dibenarkan beroperasi di Wilayah Persekutuan Labuan. Pasar malam di Wilayah Persekutuan Putrajaya tidak dibenarkan beroperasi sehingga Putrajaya menjadi Zon Hijau.

Pembukaan sektor-sektor ekonomi akan dilakukan secara berperingkat, melainkan sektor-sektor yang dinyatakan dalam Senarai Aktiviti Yang Dilarang. Semua sektor makanan bagi kluster perniagaan / penjajaan tanpa premis dibenarkan untuk dibuka semula dan beroperasi berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

6. Apakah waktu operasi yang dibenarkan bagi perniagaan / penjajaan makanan tanpa premis di Wilayah Persekutuan?

Pelanggan boleh hadir mulai jam 7 pagi hingga 10 malam sahaja pada setiap hari. Bagaimanapun, pengusaha perniagaan/ penjajaan makanan tanpa premis di Wilayah Persekutuan dibenarkan hadir mulai jam 5 pagi hingga 12 malam bagi kerja-kerja pembersihan.

7. Apakah arahan yang wajib dipatuhi oleh setiap peniaga / penjaja tanpa premis ini semasa menjalankan perniagaan?

Peniaga perlu memastikan keperluan pendidikan pekerja berhubung kebersihan dan kesihatan peribadi serta kebersihan premis. Ini termasuk keperluan merekod kehadiran serta suhu badan pekerja pada setiap hari. Mereka juga perlu mengehadkan bilangan pelanggan di kawasan perniagaan pada satu-satu masa supaya tidak berkumpul dan bersesak-sesak.

Selain itu, perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian dan penekanan:

▪ Mengambil dan merekod suhu badan pekerja pada awal waktu bekerja

▪ Memastikan jarak 1 meter antara setiap pelanggan semasa pembelian

▪ Mewajibkan penggunaan cecair pembasmi kuman pada tangan berasaskan alkohol

▪ Menggalakkan penggunaan peralatan makanan mudah urai (biodegradable) pakai buang

▪ Menggunakan cecair pencuci dengan kandungan 'sodium hypochlorite' mengikut garis panduan KKM.

8. Adakah perniagaan / penjajaan makanan tanpa premis di zon merah dan zon kuning boleh beroperasi di Wilayah Persekutuan mulai 4 Mei 2020?

Semua perniagaan / penjajaan makanan tanpa premis di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak boleh beroperasi di Wilayah Persekutuan.

C. SEKTOR MAKANAN: KLUSTER PASAR BERBANGUNAN

9. Apakah jenis perniagaan bagi kluster pasar berbangunan yang dibenarkan oleh kerajaan untuk beroperasi mulai 4 Mei 2020?

▪ Pasar awam berbangunan

▪ Pasar borong (Kuala Lumpur sahaja)

Pembukaan sektor-sektor ekonomi akan dilakukan secara berperingkat, melainkan sektor-sektor yang dinyatakan dalam Senarai Aktiviti Yang Dilarang. Semua sektor makanan bagi kluster pasar berbangunan dibenarkan untuk dibuka semula dan beroperasi berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh MKN.

10. Apakah waktu operasi yang dibenarkan bagi perniagaan pasar berbangunan di Wilayah Persekutuan ini?

Pelanggan boleh hadir mulai jam 6 pagi hingga 6 petang sahaja pada setiap hari. Bagaimanapun, pengusaha perniagaan pasar berbangunan di Wilayah Persekutuan dibenarkan hadir mulai jam 5 pagi hingga 7 malam bagi kerja-kerja pembersihan.

11. Apakah arahan yang wajib dipatuhi setiap peniaga pasar berbangunan ini semasa menjalankan perniagaan?

Peniaga perlu merekod kehadiran serta suhu badan pekerja pada setiap hari. Mereka juga perlu mengehadkan bilangan pelanggan dalam pasar pada satu-satu masa dan membuat disinfeksi bangunan setiap hari selepas beroperasi.

Selain itu, perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian dan penekanan:

▪ Mengambil dan merekod suhu badan pekerja pada awal waktu bekerja

▪ Memastikan jarak 1 meter antara setiap pelanggan semasa pembelian

▪ Mewajibkan penggunaan cecair pembasmi kuman pada tangan berasaskan alkohol atau menyediakan kawasan mencuci tangan dengan sabun

▪ Menggunakan cecair pencuci dengan kandungan 'sodium hypochlorite' mengikut garis panduan KKM

▪ Membuat saringan kesihatan (suhu badan, simptom dan riwayat kontak dengan pesakit COVID-19) kepada semua pekerja warga tempatan dan asing yang memegang permit kerja (Pasar Borong).

12. Adakah perniagaan pasar berbangunan di zon merah dan zon kuning boleh beroperasi di Wilayah Persekutuan mulai 4 Mei 2020?

Semua perniagaan pasar berbangunan di zon merah dan zon kuning boleh beroperasi di Wilayah Persekutuan seperti Pasar Borong Kuala Lumpur, kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

D. SEKTOR MAKANAN: KLUSTER PASAR TANPA PREMIS (LOKASI TETAP)

13. Apakah jenis perniagaan pasar tanpa premis yang dibenarkan oleh kerajaan untuk beroperasi mulai 4 Mei 2020?

▪ Pasar segar terkawal (Pasar Tani sahaja) yang mempunyai lokasi tetap.

Pembukaan sektor-sektor ekonomi akan dilakukan secara berperingkat, melainkan sektor-sektor yang dinyatakan dalam Senarai Aktiviti Yang Dilarang. Semua sektor makanan bagi perniagaan pasar segar terkawal dibenarkan untuk dibuka semula iaitu Pasar Tani yang mempunyai lokasi tetap sahaja dan beroperasi berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh MKN.

14. Apakah waktu operasi yang dibenarkan bagi perniagaan pasar tanpa premis di Wilayah Persekutuan ini?

Pelanggan boleh hadir mulai jam 7 pagi hingga 11 pagi sahaja pada setiap hari. Bagaimanapun, pengusaha perniagaan Pasar Tani tanpa premis di Wilayah Persekutuan dibenarkan hadir mulai jam 6 pagi hingga 12 tengah hari bagi kerja-kerja pembersihan.

15. Apakah arahan yang wajib dipatuhi setiap penjaja pasar tanpa premis ini semasa menjalankan perniagaan?

Peniaga perlu memastikan keperluan pendidikan pekerja berhubung kebersihan dan kesihatan peribadi. Perlu membuat penggiliran penjaja mengikut hari. Proses disinfeksi perlu dibuat setiap kali selepas beroperasi.

Selain itu, perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian dan penekanan:

▪ Mengambil dan merekod suhu badan pekerja pada awal waktu bekerja

▪ Memastikan jarak antara meja / gerai adalah 2 meter

▪ Memastikan jarak 1 meter antara setiap pelanggan semasa pembelian

▪ Mewajibkan penggunaan cecair pembasmi kuman pada tangan berasaskan alkohol

▪ Menggunakan cecair pencuci dengan kandungan 'sodium hypochlorite' mengikut garis panduan KKM.

16. Adakah perniagaan pasar tanpa premis di zon merah dan zon kuning boleh beroperasi di Wilayah Persekutuan mulai 4 Mei 2020?

Semua perniagaan pasar tanpa premis di zon merah dan zon kuning boleh beroperasi di Wilayah Persekutuan, kecuali di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

E. SEKTOR MAKANAN: KLUSTER PERUNCITAN / SERBANEKA MAKANAN DAN MINUMAN

17. Apakah jenis premis bagi kluster peruncitan / serbaneka makanan dan minuman yang dibenarkan oleh kerajaan untuk beroperasi mulai 4 Mei 2020?

▪ Pasar raya mini

▪ Kedai runcit

▪ Kedai serbaneka

Pembukaan sektor-sektor ekonomi akan dilakukan secara berperingkat, melainkan sektor-sektor yang dinyatakan dalam Senarai Aktiviti Yang Dilarang. Semua sektor makanan bagi kluster peruncitan / serbaneka makanan dan minuman dibenarkan untuk dibuka semula dan beroperasi berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh MKN.

18. Apakah waktu operasi yang dibenarkan bagi perniagaan peruncitan / serbaneka makanan dan minuman di Wilayah Persekutuan ini?

Pelanggan boleh hadir mulai jam 8 pagi hingga 8 malam sahaja pada setiap hari. Bagaimanapun, pengusaha perniagaan peruncitan/ serbaneka makanan dan minuman di Wilayah Persekutuan dibenarkan hadir mulai jam 7 pagi hingga 9 malam bagi kerja-kerja pembersihan.

19. Apakah arahan yang wajib dipatuhi oleh setiap peniaga peruncitan / serbaneka makanan dan minuman ini semasa menjalankan perniagaan?

Peniaga perlu mengehadkan bilangan pelanggan dalam premis pada satu-satu masa serta membuat pembersihan dan aktiviti sanitasi berterusan dengan kerap. Semua pekerja diwajibkan memakai pelitup muka atau face mask.

Selain itu, perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian dan penekanan:

▪ Mengambil dan merekod suhu badan pekerja pada awal waktu bekerja

▪ Memastikan kawalan bilangan pelanggan dan penjarakan sosial

▪ Mewajibkan penggunaan cecair pembasmi kuman pada tangan berasaskan alkohol

▪ Membuat pembersihan secara kerap menggunakan cecair pencuci dengan kandungan 'sodium hypochlorite' mengikut garis panduan KKM

▪ Menggalakkan pembayaran tanpa tunai atau 'cashless' (e-wallet, kad kredit dan lain-lain).

20. Adakah perniagaan peruncitan / serbaneka makanan dan minuman di zon merah dan zon kuning boleh beroperasi di Wilayah Persekutuan mulai 4 Mei 2020?

Semua perniagaan peruncitan / serbaneka makanan dan minuman di zon merah dan zon kuning boleh beroperasi seperti sedia ada sama ada secara 'take away' atau 'dine in' di Wilayah Persekutuan tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan, kecuali di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Catatan:

1. Adalah menjadi tanggungjawab bersama semua pihak untuk memahami dan mematuhi semua arahan semasa pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga SOP Pencegahan Covid-19 yang dikeluarkan oleh KKM untuk sama-sama mengurangkan risiko dan membendung penularan pandemik Covid-19 ini.

2. Sebarang perubahan terkini sejajar dengan arahan terbaru MKN dan KKM akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Berita Harian X