Selasa, 5 Mei 2020 | 5:00pm

COVID-19: 83 pesakit sembuh, 30 kes baharu dilaporkan

PUTRAJAYA: Sebanyak 83 kes COVID-19 sembuh sepenuhnya dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 4,567 atau 71.55 peratus kes sembuh.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes sembuh itu lebih tinggi berbanding kes baharu pesakit positif COVID-19 yang dilaporkan setakat jam 12 tengah hari ini.

Bagi kes baharu, katanya, sebanyak 30 kes dilaporkan dan daripada jumlah itu, 21 kes dikesan melalui kluster dan lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), manakala tiada kes import dilaporkan.

"Dengan pertambahan kes baharu itu, kini kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,710 kes dan mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan lanjut.

"Sehingga kini, seramai 24 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lapan individu masih memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, terdapat pertambahan satu kes kematian, menjadikan jumlah kematian di negara ini akibat COVID-19 sebanyak 106 atau 1.66 peratus daripada keseluruhan kes.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
    Berita Harian X