Rabu, 6 Mei 2020 | 11:18am
Muhammad Aklil Ayob (bawah kanan) dan pasangannya, Dr Siti Aminah Muhammad Imran yang bernikah menerusi sidang video pada 28 April lalu, dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Pejabat Agama Islam Hulu Langat, Ayub Baharuddin (kiri). - Foto ihsan Muhammad Aklil Ayob
Muhammad Aklil Ayob (bawah kanan) dan pasangannya, Dr Siti Aminah Muhammad Imran yang bernikah menerusi sidang video pada 28 April lalu, dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Pejabat Agama Islam Hulu Langat, Ayub Baharuddin (kiri). - Foto ihsan Muhammad Aklil Ayob

Nikah menerusi sidang video, akhiri perkenalan 10 tahun

KUANTAN: "Saya tidak pernah terbayang untuk melangsungkan majlis pernikahan secara dalam talian yang dianggap terlalu asing pada masyarakat negara ini.

"Namun apakan daya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya terpaksa menerima hakikat dan reda kaedah berkenaan terpaksa dilakukan," kata Muhammad Aklil Ayob, 33.

Beliau yang menetap di Johor Bahru, mendirikan rumah tangga dengan Dr Siti Aminah Muhammad Imran, 32 yang tinggal di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Upacara pernikahan pasangan itu dilangsungkan secara dalam talian menerusi sidang video pada 28 April lalu.

Muhamad Aklil berkata, mereka sepatutnya melangsungkan pernikahan pada 4 April lalu, namun ditangguhkan 24 hari selepas itu disebabkan PKP dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak dapat menyelesaikan proses pernikahan.

Katanya, walaupun terpaksa menunggu agak lama untuk melangsungkan pernikahan, namun beliau dan isteri reda dengan apa yang berlaku, semua itu sudah ditentukan Allah.

"Saya yakin kelewatan majlis kami pasti ada hikmahnya, tiada siapa salah atau silap kerana kita yang merancang tetapi Tuhan yang menentukan semuanya.

"Selama 10 tahun, saya dan isteri berkenalan ketika melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan dan akhirnya selamat melangsungkan pernikahan secara dalam talian ketika negara berdepan wabak COVID-19," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, majlis pernikahan mereka dilangsungkan menerusi sidang video, upacara yang ringkas tetapi penuh bermakna, selain berlangsung dalam suasana penuh ceria.

Muhammad Aklil menambah, walaupun mereka kini sah bergelar suami isteri namun masih tidak berpeluang bertemu disebabkan larangan perjalanan rentas negeri masih berkuat kuasa.

"Tahun 2020 pastinya menjadi kenangan hidup saya dan isteri, selain menempuh PKP, kami melangsungkan pernikahan secara dalam talian yang dianggap begitu asing.

"Sejak bernikah pada 28 April lalu, kami masih belum berpeluang bertemu. Ramadan kali ini menuntut saya dan isteri banyak bersabar," katanya yang bertugas sebagai eksekutif dengan syarikat pembuat insulin di Johor Bahru.

Sementara itu, Dr Siti Aminah yang bertugas sebagai pembantu penyelidik di Institut Kajian Perubatan (IMR) Setia Alam, Selangor, melahirkan rasa syukur kerana majlis pernikahan mereka berjalan lancar walaupun secara dalam talian menerusi sidang video.

"Kini saya sah bergelar isteri, perkenalan selama 10 tahun kami akhirnya sampai ke kemuncaknya," katanya.

Berita Harian X