Rabu, 6 Mei 2020 | 4:43pm
Keupayaan rakyat berbelanja seperti biasa adalah petunjuk kerajaan dapat merangsang semula ekonomi pasca ekonomi. - Gambar fail - orang ramai melintasi Jalan Tuanku Abdul Rahman berhadapan pusat beli belah Sogo yang dibuka semula susulan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei. - Foto BERNAMA
Keupayaan rakyat berbelanja seperti biasa adalah petunjuk kerajaan dapat merangsang semula ekonomi pasca ekonomi. - Gambar fail - orang ramai melintasi Jalan Tuanku Abdul Rahman berhadapan pusat beli belah Sogo yang dibuka semula susulan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei. - Foto BERNAMA

30 peratus responden hilang pendapatan ketika PKP

KUALA LUMPUR: Satu kaji selidik dalam talian oleh Pusat Kajian Pentadbiran dan Politik (Cent-GPS) mendapati 30 peratus responden kehilangan pendapatan semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia juga menunjukkan kebanyakan responden dapat menyesuaikan diri dengan dua fasa pertama PKP, namun status kewangan mereka mungkin terjejas jika PKP dilanjutkan.

Kajian mengenai tahap kewangan dan corak perbelanjaan rakyat Malaysia ketika PKP Fasa 1 dan 2 membabitkan 733 responden itu juga mendapati simpanan dimiliki 74 peratus responden hanya mampu bertahan tidak sampai empat bulan.

Daripada jumlah itu, 30 peratus responden mengakui simpanan mereka hanya cukup untuk tempoh sebulan, manakala 44 peratus responden lagi memiliki simpanan yang bertahan antara satu hingga tiga bulan.

"Ini adalah cabaran utama bagi kerajaan untuk merangsang semula ekonomi, iaitu sama ada perniagaan dan orang ramai berupaya untuk memulihkan aliran tunai mereka pasca PKP, serta berapa lama masa diperlukan untuk mereka berbuat demikian.

"Walaupun banyak pihak menyentuh mengenai cabaran dihadapi syarikat dan perniagaan, masalah sebenar mungkin ada dalam pasaran itu sendiri apabila orang ramai mungkin mengurangkan perbelanjaan pasca PKP, untuk menstabilkan simpanan.

"Berikutan pendapatan isi rumah yang boleh dibelanjakan semakin mengecil sama ada bagi yang kehilangan pendapatan atau mahu menstabilkan semula simpanan, orang ramai kini bergantung pada kerajaan untuk memberikan rangsangan dana dalam apa juga bentuk," jelas Cent-GPS dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, kajian sama mendapati 70 peratus responden percaya kerajaan berupaya untuk merangsang semula ekonomi, selain 86 peratus responden bersetuju bahawa PKP perlu dilaksanakan.

"Sehubungan itu, satu perancangan yang jelas perlu diwujudkan dalam tempoh beberapa bulan pasca PKP untuk memulihkan semula ekonomi Malaysia untuk memberi keyakinan kepada industri, perniagaan dan pengguna," jelasnya.

Cent-GPS turut memaklumkan mengenai hasil kajian itu yang mendapati pelaksanaan PKP berjaya memangkin amalan rakyat Malaysia membeli barangan secara dalam talian.

Dapatan mengenai mereka yang berbelanja secara dalam talian adalah agak seimbang antara yang menetap di Lembah Klang atau di luar kawasan itu, dengan sebahagiannya tinggal di Sabah dan Sarawak.

Berdasarkan hasil kajian itu, Cent-GPS menyarankan kerajaan dan perniagaan untuk tidak sekadar bergantung pada suntikan dana untuk merangsang semula ekonomi, sebaliknya turut meneliti semula bagaimana ekonomi berfungsi dalam situasi baharu ketika ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X