Khamis, 7 Mei 2020 | 5:07pm
COVID-19: Malaysia belum masuk 'exit strategy'
COVID-19: Malaysia belum masuk 'exit strategy'

COVID-19: 74 sembuh hari ini, 39 kes baharu, tiada kematian

PUTRAJAYA: Sebanyak 74 kes sudah sembuh jangkitan COVID-19 dilaporkan hari ini dan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 4,776 atau 73.9 peratus daripada keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah itu lebih tinggi berbanding jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini.

Hingga jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 39 kes baharu dilaporkan iaitu satu kes dari kes import dan selebihnya dari penularan tempatan yang dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Dengan pertambahan jumlah kes baharu itu ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak 6,467 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 1,584 kes. Mereka kini sudah diasingkan dan diberi rawatan," katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini.

Dalam pada itu Noor Hisham turut memaklumkan hari ini tiada pertambahan kes kematian dan jumlahnya kekal sebanyak 107 kes atau 1.65 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Hingga kini, ada 19 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lapan kes memerlukan bantuan pernafasan.

Mengenai sambutan Hari Wesak, Dr Noor Hisham berharap perayaan itu diraikan dengan kelaziman baharu memandangkan perhimpunan secara besar-besaran dan aktiviti kunjung-mengunjungi tidak dibenarkan ketika ini.

"PKPB masih perlu dipatuhi, pastikan jarak sosial selamat sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain dan tidak mengadakan atau menyertai sambutan secara beramai-ramai," tegasnya.

Beliau seterusnya mengingatkan majikan pelbagai sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi agar mematuhi syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa berdasarkan sektor masing-masing, antaranya mengelak berada di kawasan sesak, di kawasan tertutup, dan mengekalkan jarak satu meter ketika bercakap.

KKM akan terus memantau perkembangan jangkitan pandemik COVID-19 melalui maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selain memastikan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X