Khamis, 7 Mei 2020 | 6:17pm
Sebahagian warga tempatan yang dikuarantin di Hotel Impiana, Kuala Lumpur. - Foto fail NSTP/Aswadi Alias
Sebahagian warga tempatan yang dikuarantin di Hotel Impiana, Kuala Lumpur. - Foto fail NSTP/Aswadi Alias

Tempoh kuarantin tak terhad 2 minggu, bergantung situasi individu

PUTRAJAYA: Tempoh kuarantin bagi seseorang individu itu bergantung kepada gejala yang dialaminya dan ia tidak terhad kepada dua minggu atau 14 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sekiranya individu berkenaan dikuarantin secara kelompok dan seorang daripada mereka mempunyai kes positif, tempoh kuarantin akan ditambah untuk semua individu terbabit kerana mereka dianggap sebagai kontak rapat.

Atas sebab itu setiap individu tidak akan menjalani proses kuarantin dalam tempoh yang sama kerana ia bergantung kepada situasi yang mereka alami.

"Sebagai contoh, pada hari pertama ujian saringan kesihatan diadakan individu terbabit negatif, tidak semestinya pada ujian saringan kedua yang dilakukan dia akan mendapat keputusan negatif juga. Kebarangkalian individu ini untuk mendapat keputusan positif tetap ada.

"Sekiranya dalam ujian saringan kesihatan kali kedua diadakan, dan keputusannya individu terbabit adalah positif sudah tentu tempoh kuarantin akan ditambah hinggalah dia benar-benar sembuh.

"Ada juga kes di mana tempoh kuarantin ditambah kerana seorang dari mereka mendapat keputusan yang positif. Walaupun rakannya yang positif, individu yang duduk sekali pun akan tetap kena jalani tambahan tempoh kuarantin kerana kita anggap mereka mempunyai kontak rapat," katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini.

Sebelum ini, terdapat seorang pengguna meluahkan rasa tidak puas hati menerusi Facebook kerana tempoh kuarantin yang dikenakan terhadap pelajar madrasah di Ayer Merbau, Jasin Melaka itu tidak sama sehingga ada pelajar yang perlu menjalani kuarantin hingga 20 hari.

Pengguna itu mendakwa, individu yang negatif 'dihukum' untuk menambah jumlah tempoh kuarantin atas alasan 'bercampur' dengan individu yang positif sedangkan pihaknya mendakwa ada pelajar yang benar-benar mengikut tempoh kuarantin dan tidak keluar dari madrasah berkenaan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X