Sabtu, 9 Mei 2020 | 11:03am
Tapak pembinaan yang diberi kebenaran beroperasi semula perlu patuh SOP ditetapkan - Gambar hiasan
Tapak pembinaan yang diberi kebenaran beroperasi semula perlu patuh SOP ditetapkan - Gambar hiasan

Hanya 9 peratus tapak pembinaan patuh SOP

KUALA LUMPUR: Hanya kira-kira sembilan peratus atau 247 tapak pembinaan di seluruh Malaysia yang sudah kembali memulakan operasi, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan setakat ini.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ia hasil pemantauan dan lawatan yang dibuat oleh pihaknya ke 2,830 tapak pembinaan di seluruh Malaysia dari 20 April hingga 7 Mei lalu.

Katanya, daripada jumlah itu terdapat kira-kira 70 tapak pembinaan yang tidak mengikut SOP ditetapkan dan diberi amaran manakala terdapat dua tapak pembinaan sudah diarahkan supaya ditutup.

"Daripada jumlah itu, lebih 80 peratus atau 2,500 masih belum beroperasi. Saya ucapkan terima kasih kepada kontraktor terbabit kerana mahu memastikan yang mereka dapat benar-benar menyediakan SOP di tapak pembinaan sebelum mula beroperasi.

"Inilah cara yang betul. Majikan perlu memastikan pekerja disaring dan tempat kediaman pekerja adalah selamat.

"Jika pekerja kontrak ada disediakan tempat tinggal di tapak pembinaan, pastikan tempat tinggal itu dijaga dengan baik dari segi kebersihan dan sanitasi dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Selamat Pagi Malaysia di TV1, pagi ini.

Ditanya lebih lanjut mengenai SOP di tapak pembinaan, Fadillah berkata, ia membabitkan tiga lokasi iaitu tempat kediaman, urusan perjalanan ke tempat pekerjaan dan di tapak pembinaan itu sendiri.

Sebagai contoh, katanya pekerja perlu disaring sebelum dibenarkan bekerja dan jika ada yang mempunyai simptom perlu terus dibawa ke klinik dan tidak dibiarkan ke tapak pembinaan.

"Sesiapa yang berhubung di tapak pembinaan sama ada pekerja, pembekal dan sebagainya mesti didaftar kerana jika berlaku sebarang kes (COVID-19), kita boleh kesan siapa mereka dan di mana mereka berada.

"Ini semua bertujuan untuk mengawal COVID-19 daripada merebak," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X