Sabtu, 9 Mei 2020 | 3:33pm
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA

94 individu dikuarantin terima RM100 sehari

KUALA LUMPUR: Seramai 94 individu yang dirawat dan dikuarantin sudah menerima bantuan khas hilang pendapatan berjumlah RM125,700 daripada Tabung COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata individu berkenaan menerima bayaran sebanyak RM100 sehari bagi tempoh 14 hari dikuarantin.

Katanya, dua kumpulan sahaja yang layak menerima bantuan RM100 sehari selama 14 hari yang terhad kepada warganegara Malaysia sekiranya diarahkan untuk kuarantin akibat wabak COVID-19.

"Kumpulan pertama yang bekerja tetapi kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dikenakan pengawasan dan pemerhatian yang diarah kuarantin oleh Kementerian Kesihatan selama 14 hari.

"Kumpulan kedua adalah mereka yang bekerja tetapi kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh menjalani rawatan di wad hospital akibat COVID-19.

"Mereka yang berada di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan tidak layak menerima bantuan ini," katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung hari ini.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 71 waris mangsa COVID-19 sudah menerima bantuan ihsan RM5,000 yang disalurkan kerajaan menerusi Tabung COVID-19.

"Bantuan itu membabitkan jumlah sebanyak RM355,000," katanya.

Ismail Sabri berkata, sehingga 7 Mei lalu, Tabung COVID-19 menerima sumbangan sebanyak RM40,298,699.49 dan dimanfaatkan untuk beberapa perkara termasuk kepada waris dan mereka yang terbeban akibat jangkitan COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X