Sabtu, 9 Mei 2020 | 9:33pm
EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin. - NSTP/Salhani Ibrahim
EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin. - NSTP/Salhani Ibrahim

Permudahkan bayaran elaun khas RM200 kepada petugas

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar memastikan elaun khas RM200 yang diperuntukkan secara bulanan kepada petugas barisan hadapan sepanjang mendepani wabak COVID-19, diperoleh dengan mudah dan tanpa kerenah birokrasi.

Elaun yang sepatutnya diterima bermula 1 April, bagaimanapun didakwa memerlukan penerimanya melalui pelbagai proses sukar, terutama dalam melengkapkan dokumen bagi mendapatkan bayaran khas itu.

EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, berkata pada asasnya permohonan elaun itu sepatutnya perlu mendapat pengesahan daripada ketua jabatan seperti diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz pada 21 April lalu.

Menurut kenyataan menteri berkenaan, langkah itu diambil susulan ada aduan daripada petugas barisan hadapan berdepan masalah membuat tuntutan elaun berikutan penetapan kriteria dan proses yang ketat.

"Justeru, kerajaan sudah menurunkan kuasa pengesahan kepada ketua jabatan, yang mana Pengarah Kesihatan dan Ketua Balai boleh mengesahkan senarai petugas di jabatannya.

"Prosedur itu lebih memudahkan dan anggota terbabit sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya perlu mengemukakan dokumen yang diperlukan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 27 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), memberi tambahan elaun khas berjumlah RM200 kepada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan yang terbabit dalam pengurusan COVID-19, daripada RM400 kepada RM600 sebulan.

Elaun khas sepatutnya bermula 1 April itu dan berterusan hingga wabak berkenaan berakhir, turut diperuntukkan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta RELA yang terbabit secara langsung melaksanakan PKP.

Muhamad Muqharabbin atau Qobin yang juga Penjelajah Grand Slam pertama negara, berharap masalah berhubung elaun itu diselesaikan segera sebagai menghargai pengorbanan masa, keringat petugas barisan hadapan khusus anggota polis di atas kesanggupan mereka berpanas berhujan dan menggadaikan nyawa sendiri demi menyelamatkan pesakit COVID-19.

"Saya berharap perkara ini mendapat perhatian kerajaan dengan segera dan tidak sepatutnya dirumitkan memandangkan mereka masih terikat dengan tugasan siang malam demi negara.

"Jangan kerana perkara ini, motivasi mereka terganggu kerana mereka juga ada keluarga yang harus dijaga," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X