Sabtu, 9 Mei 2020 | 9:58pm
ADNAN Mat (Foto/NSTP)
ADNAN Mat (Foto/NSTP)

COVID-19: CUEPACS gesa sesi perbincangan selesaikan isu elaun

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa satu sesi perbincangan dapat diadakan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), wakil kesatuan dan pekerja berhubung isu tuntutan elaun COVID-19 membabitkan anggota kesihatan.

Presidennya, Adnan Mat menerusi kenyataan hari ini menegaskan perbincangan dua hala antara majikan dan pekerja dapat menyelesaikan isu ini secara keseluruhan.

"Pandangan dan suara daripada pihak kesatuan atau wakil pekerja perlu diambil kira bagi memastikan hak dan kebajikan petugas barisan hadapan terbela sepenuhnya.

"Justeru, Cuepacs berharap KKM meneliti dan membuat pertimbangan sewajarnya bagi memudahkan kaedah pembayaran elaun COVID-19.

"Penambahbaikan yang dibuat haruslah bertujuan memudahkan urusan kerja petugas barisan hadapan dan tidak menidakkan hak yang sepatutnya mereka terima," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini yang menyiarkan luahan barisan petugas hadapan KKM yang mendakwa berdepan kerenah birokrasi berhubung elaun COVID-19.

Adnan berkata, agensi dan jabatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) perlu bersama-sama meneliti perkara ini dan memudahkan urusan pembayaran elaun khas yang diterima untuk petugas barisan hadapan mereka.

"Elaun yang diberikan kerajaan adalah suntikan semangat kepada petugas barisan hadapan. Janganlah kita lunturkan semangat dengan kerenah birokrasi yang dicipta sendiri," katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), pada 27 Mac lalu mengumumkan peningkatan elaun khas daripada RM400 kepada RM600 bagi petugas kesihatan seperti doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terbabit secara langsung dalam pengurusan serta membendung COVID-19.

Bagi anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam (JPA) serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang terbabit secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka akan menerima elaun khas RM200 sebulan.

Elaun ini juga akan dibayar mulai 1 April lalu sehingga wabak COVID-19 berakhir.

– BERNAMA

Berita Harian X