X
Ahad, 10 Mei 2020 | 11:20am

PPj beri pengecualian bayaran sewa 6 bulan

PUTRAJAYA: Bagi meringankan beban kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Perbadanan Putrajaya (PPj) memberikan pengecualian bayaran sewa selama enam bulan kepada premis milik Kerajaan Persekutuan, di sini.

Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Datuk Azizi Ahmad Termizi, berkata PPj sudah merancang untuk memberi pengecualian bayaran sewa kepada premis bawah seliaannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selaras pengumuman kerajaan.

Beliau berkata, selain pengecualian bayaran sewa bagi Mac dan April, PPj turut memanjangkannya hingga Ogos bagi membantu peniaga yang terjejas akibat wabak COVID-19.

"Proses kelulusan pengecualian bayaran itu perlu melalui mesyuarat dan ia tertangguh disebabkan kekangan pegawai untuk hadir ke pejabat susulan PKP," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 27 Mac lalu, kerajaan dilaporkan bersetuju memberi pengecualian bayaran sewa selama enam bulan untuk semua premis milik Kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria dan kedai serbaneka.

Pada satu sidang media, Jumaat lalu, 80 pemilik gerai makan bawah seliaan PPj meluahkan rasa kecewa kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) itu didakwa tidak memberi sebarang tindak balas berhubung pengecualian bayaran sewa selama enam bulan seperti diumumkan kerajaan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X