Ahad, 10 Mei 2020 | 2:48pm
Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di kawasan Rehat dan Rawat Restoran Jejantas Sungai Buloh. - Foto fail BERNAMA
Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di kawasan Rehat dan Rawat Restoran Jejantas Sungai Buloh. - Foto fail BERNAMA

COVID-19: Balik beraya di kampung tak dibenarkan

KUALA LUMPUR: Perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa hingga 9 Jun ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata beliau tahu ramai yang sedih kerana tidak dapat pulang ke kampung halaman dan menyambut Aidilfitri bersama keluarga, namun larangan sedemikian harus dilaksanakan bagi menjamin keselamatan dan mengekang penularan COVID-19.

"Dalam tempoh lanjutan PKPB ini, ada beberapa perayaan utama yang lazimnya akan membabitkan pergerakan orang ramai, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

"Jadi saya nak mengingatkan saudara-saudari mengenai larangan pergerakan antara negeri yang masih berkuat kuasa dalam tempoh ini.

"Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan.

"Bersabarlah, bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara," katanya pada perutusan khas, hari ini.

Cuba menenangkan hati rakyat yang terkesan dengan larangan berkenaan, Muhyiddin berkata stesen-stesen televisyen dan radio boleh memutarkan lagu Dendang Perantau sekali sekala.

"Kalau dimainkan selalu saya pun berasa sayu juga. Mainkan lagu-lagu Hari Raya yang boleh menceriakan suasana. Saya tengok dalam YouTube ada lagu 'Jange Kelik La Weii'.

Lagu ini pun 'ok' lah," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X