Ahad, 10 Mei 2020 | 4:37pm
Tan Sri Lee Lam Thye. NSTP/EDMUND SAMUNTING.
Tan Sri Lee Lam Thye. NSTP/EDMUND SAMUNTING.

Lanjutan tempoh PKPB tidak dapat dielakkan

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun depan disifatkan sebagai langkah yang tidak dapat dielakkan buat masa ini.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berpandangan langkah itu terpaksa dilakukan memandangkan kes dan kluster baharu jangkitan COVID-19, masih dikesan di beberapa lokasi sehingga kini.

Sehubungan itu, beliau yakin pengumuman lanjutan tempoh PKPB oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan disambut baik oleh orang ramai yang masih bimbang dengan penularan pandemik berkenaan.

"Saya yakin keputusan ini dibuat selepas Perdana Menteri mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ia tidak dapat dielakkan memandangkan perang terhadap COVID-19 belum tamat dan masih ada kes dan kluster dikesan di sana sini dari semasa ke semasa, selain ia untuk menjaga kesihatan orang ramai," katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin dalam perutusan khas hari ini mengumumkan PKPB yang sebelum ini dijadualkan berakhir Selasa ini, akan dilanjutkan selama empat minggu sehingga 9 Jun depan.

Lam Thye berkata, lanjutan itu tidak seharusnya menjadi beban kepada industri dan perniagaan kerana hampir semua sektor ekonomi sudah dibenarkan beroperasi ketika ini.

Jelasnya, ia terpulang pada pengurusan syarikat dan majikan untuk menyusun semula perniagaan dan menyesuaikannya dengan situasi semasa, namun keutamaan adalah memastikan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan, dipatuhi 100 peratus.

"Majikan juga boleh membuat pembahagian antara kakitangan yang bekerja di pejabat atau dari rumah supaya SOP penjarakan sosial dan seumpamanya lebih mudah dipatuhi, sekali gus memastikan kakitangan bebas daripada jangkitan COVID-19," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X