Rabu, 13 Mei 2020 | 5:07pm

COVID-19: 58 pesakit sembuh hari ini

PUTRAJAYA: Terdapat 58 kes sembuh COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh di negara ini sebanyak 5,281 kes atau 77.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga jam 12 tengah hari tadi terdapat 37 kes baharu, iaitu 21 kes bukan dalam kalangan warganegara Malaysia.

Katanya, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak empat kes dari kes import dan 33 kes pula menerusi penularan tempatan.

"Oleh itu, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 6,779 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 1,387 kes.

"Sehingga kini, seramai 16 kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan empat individu masih memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam sidang media harian, di sini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat dua pertambahan kes kematian disebabkan COVID-19 dan menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 111 kes, iaitu 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X