Jumaat, 15 Mei 2020 | 12:36pm
Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

PRK Chini 4 Julai

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang akan diadakan pada 4 Julai depan, manakala hari penamaan calon adalah pada 20 Jun.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun, berkata tarikh bagi pengundian awal pula adalah pada 30 Jun.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas bagi PRK DUN Chini di ibu pejabat SPR, Putrajaya, hari ini.

Azhar berkata, kos keseluruhan bagi PRK DUN Chini dianggarkan berjumlah RM4.3 juta.

Beliau memaklumkan, Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkipli dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK berkenaan dan dibantu empat Penolong Pegawai Pengurus.

"SPR akan menggunakan Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Undi Rasmi.

"SPR juga bersetuju menubuhkan tiga Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, yang dianggotai wakil daripada polis, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil calon bertanding.

"Seramai 832 petugas akan dilantik mengendalikan proses PRK DUN Chini, manakala 14 Pusat Mengundi yang mengandungi 66 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi," katanya.

Azhar Azizan memaklumkan, Daftar Pemilih yang akan digunakan bagi PRK berkenaan adalah Daftar Pemilih Induk 2019 yang dikemaskini sehingga 7 Mei lalu, mengandungi 20,990 pengundi terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis.

"Bermula 3 Jun, pengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih bagi mengetahui maklumat pusat dan saluran mengundi serta nombor bilangan mereka melalui laman web SPR, www.spr.gov.my atau menelefon ke talian 03-88927018 atau melalui SMS 15888 atau melalui aplikasi MySPR Semak," katanya.

Bagi memudahkan proses penamaan calon, mereka yang ingin bertanding perlu mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Pahang sebelum hari penamaan calon.

"Bakal calon juga dicadang supaya membuat pembayaran deposit secara atas talian lebih awal bagi memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar," katanya.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, Allahyarham selaku wakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.

Berita Harian X