X
Jumaat, 15 Mei 2020 | 3:10pm
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO/BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO/BERNAMA

Kajian terperinci perlu untuk kebenaran penggambaran

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melakukan kajian terperinci mengenai cadangan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti penggambaran sebelum membuat keputusan mengenainya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata cadangan SOP itu dikemukakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada mesyuarat khas menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Selasa lalu, namun belum ada sebarang keputusan dibuat.

"Mengenai SOP aktiviti penggambaran ini sama ada drama, iklan dan filem, kita sudah mendengar cadangan itu tapi belum lagi memutuskan untuk memberi kebenaran kerana banyak pertimbangan yang kita lihat.

"Dari segi lakonan, biasanya mungkin akan berlaku kes tiada penjarakan sosial ketika penggambaran dan ia bukan membabitkan pelakon saja tapi kru yang ramai.

"Sebab itu, kita tangguhkan dulu (keputusan) dan mungkin selepas Hari Raya nanti, kita boleh mempertimbangkan semula. Kita akan kaji secara terperinci lagi termasuk mendapatkan pandangan daripada Kementerian Kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai PKP di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, beliau tahu ramai warga industri filem berdepan masalah dari segi pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Insya Allah, kita akan lihat perkara ini," katanya.

Berita Harian X