Jumaat, 15 Mei 2020 | 3:47pm

COVID-19: Pesakit tanpa gejala bukan petanda baik

PUTRAJAYA: Penyebaran virus COVID-19 oleh individu tidak bergejala menunjukkan ia mampu menyebabkan lebih banyak jangkitan dan sukar untuk dibendung.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kajian menunjukkan individu yang tidak bergejala mempunyai beban virus (viral load) yang sama dengan individu bergejala.

Katanya, ia secara tidak langsung menunjukkan sama ada individu itu bergejala atau tidak, mereka tetap boleh membawa virus berkenaan dengan jumlah yang sama bagi menjangkiti individu lain.

"Ini menunjukkan penularan dapat dilakukan sama ada dari pesakit tanpa gejala atau pesakit yang mempunyai gejala," katanya menerusi laman Facebook.

Tambahnya, jangkitan oleh pesakit tidak bergejala bukanlah perkara biasa dan menunjukkan wabak berkenaan lebih sukar dibendung berbanding penyakit lain kerana ia boleh menyebabkan lebih banyak jangkitan kepada komuniti.

"Jangkitan tidak bergejala ini agak luar dari kebiasaan (uncommon) untuk virus, ia bukanlah petanda baik.

"Kalau individu itu mampu menyebarkan virus walaupun dia tidak bergejala, ia juga mampu menyebabkan lebih banyak jangkitan komuniti (jangkitan yang sumbernya tidak diketahui, atau hubungan kontaknya tidak dapat dikenal pasti).

"Ini semakin jelas menunjukkan COVID-19 ini lebih sukar untuk dibendung," katanya.

Dr Noor Hisham yang turut memetik satu artikel daripada University John Hopkins berkata, dalam satu kes di Iceland, hasil ujian saringan terhadap lima peratus populasi negara mendapati 50 peratus dikesan positif COVID-19 tanpa sebarang gejala.

Sehingga kini, sebanyak 6,819 kes positif COVID-19 dilaporkan di negara ini, daripada jumlah berkenaan sebanyak 1,356 kes masih aktif.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam, Malaysia sudah mencatatkan sebanyak 112 kes kematian atau 1.64 peratus daripada keseluruhan kes.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X