Sabtu, 16 Mei 2020 | 7:35am

Perlis arah solat sunat Aidilfitri di rumah

KANGAR: Tiada solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau seluruh Perlis tahun ini, sebalik umat Islam negeri ini diminta menunaikannya bersama ahli keluarga masing-masing di rumah.

Keputusan diumumkan Jabatan Mufti Perlis menerusi garis panduan sambutan Aidilfitri di negeri ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam kenyataannya malam tadi, berkata garis panduan itu sudah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

"Panduan dikeluarkan selaras dengan tuntutan untuk membesarkan sambutan Aidilfitri, serta keperluan untuk disesuaikan dengan situasi penularan wabak semasa.

"Ia dibuat setelah mengambil kira dan mempertimbangkan pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis dan Kementerian Kesihatan (KKM)," menurut MAIPs.

Menurutnya, solat sunat Aidilfitri di Perlis pada tahun ini tidak dilaksanakan di masjid, sebaliknya ditunaikan di rumah masing-masing bersama ahli keluarga.

Menurut MAIPs, isi kandungan panduan tersebut adalah mengenai takbir hari raya, solat hari raya, khutbah hari raya, amalan sunat hari raya dan kewajipan menunaikan zakat fitrah.

Katanya, risalah panduan berkenaan boleh dimuat turun di Laman Portal Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis melalui pautan khas https://mufti.perlis.gov.my/index.php/khutbah/category/11-teks-khutbah-d....

Teks khutbah pula boleh didapati sama ada dengan kaedah 2 khutbah atau 1 khutbah yang boleh dimuat turun daripada Laman Portal Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis melalui pautan https://mufti.perlis.gov.my/index.php/khutbah. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X