Sabtu, 16 Mei 2020 | 11:49am

Keutamaan diberikan murid menduduki SPM, SVM, STPM, STAM - PM Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi keutamaan kepada murid yang akan menduduki peperiksaan utama untuk ke sekolah apabila sesi persekolahan dibuka nanti.

Ia membabitkan mereka yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Sambil memberi jaminan pembukaan sekolah akan dimaklumkan dua minggu lebih awal, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) mengenai penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan diri yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dapat dipatuhi.

"SOP ini meliputi prosedur mengenai ketibaan murid di sekolah, pergerakan ke bilik darjah, susunan meja dalam bilik darjah, pergerakan di kantin dan pelbagai aspek lain," katanya dalam perutusan Hari Guru 2020, hari ini.

Katanya, seperti diumumkan oleh Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin, sebelum ini, tarikh pembukaan semula sekolah akan dimaklumkan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum sekolah dibuka selain turut bergantung kepada nasihat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Apabila sekolah dibuka nanti, untuk permulaan, kita berikan keutamaan kepada murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk ke sekolah dahulu.

Pada 15 April lalu, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin mengumumkan tarikh peperiksaan SPM dan SVM ditunda kepada suku pertama tahun depan.

Tarikh Peperiksaan Semester 2 STPM turut dipinda kepada Ogos ini, manakala peperiksaan Semester 3 STPM dan STAM diadakan pada suku pertama tahun depan.

Peperiksaan UPSR dan PT3 bagi tahun ini turut dibatalkan, sementara pelajar Tingkatan Lima dan Enam Atas yang akan menduduki SPM dan STPM akan diberi keutamaan untuk ke sekolah selepas PKP tamat.

p>

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • FOTO hiasan.
    FOTO hiasan.
    Berita Harian X