Isnin, 18 Mei 2020 | 11:43am
ADUN Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor memulakan tugas hari pertama sebagai Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini. - Foto NOORAZURA ABDUL RAHMAN
ADUN Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor memulakan tugas hari pertama sebagai Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini. - Foto NOORAZURA ABDUL RAHMAN

MB sebak mulakan tugas hari pertama

ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor yang memulakan hari pertamanya sebagai Menteri Besar Kedah, sebak sebaik melangkah masuk ke pejabat di Wisma Darul Aman, di sini.

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah itu mengakui pejabat berkenaan merakam pelbagai memori dalam dirinya dan berasa sebak dapat kembali ke pejabat yang sama dengan tanggungjawab yang lebih besar.

Muhammad Sanusi, 46, pernah bertugas sebagai Setiausaha Politik Tan Sri Azizan Abdul Razak ketika Allahyarham menjadi Menteri Besar Kedah pada 2008 hingga 2013.

"Saya sentiasa ingat pesanan Allahyarham supaya bekerja di waktu singkat (dunia) dan berehat di waktu panjang (akhirat). Itulah nasihat selalu diungkapkan Tan Sri sewaktu jadi Menteri Besar dahulu.

"Saya akan lakukan yang terbaik untuk rakyat, jawatan yang saya pegang sekarang bukan untuk cari kekayaan dan kelebihan diri. Di sini tempat bekerja, berkorban dan berfikir untuk rakyat. Itulah yang Allahyarham buat dulu dan saya akan lakukan perkara sama," katanya.

Ketibaan Muhammad Sanusi disambut oleh Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar, Datuk Armishah Siraj.

Selepas mengetik kad perakam waktu pada jam 8.43 pagi, beliau beramah mesra dengan pegawai dan kakitangan Pejabat Menteri Besar selama kira-kira 10 minit sebelum memulakan tugas.

ADUN Jeneri itu dilantik sebagai Menteri Besar Kedah Ke-14 semalam selepas Datuk Seri Mukhriz Mahathir melepaskan jawatan kerana kehilangan kepercayaan majoriti ADUN negeri ini.

Berita Harian X