Isnin, 18 Mei 2020 | 3:30pm

Harga siling ayam diumumkan esok

KUALA LUMPUR: Pengumuman harga siling ayam di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan esok, dijangka dapat menstabilkan semula harga ayam dilaporkan naik mendadak sebelum ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata melalui skim kawalan harga itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menetapkan harga siling ayam selain barang keperluan lain yang digunakan untuk sambutan perayaan.

"Kerajaan ada mekanisme untuk sekat kenaikan mendadak harga ayam melalui skim kawalan harga maksimum musim perayaan.

"Saya baharu bercakap dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, yang memaklumkan harga siling ayam akan diberitahu esok.

"Harga ayam akan dikawal kerana penjual tidak boleh menjualnya melebihi harga siling ditetapkan, selain barangan keperluan lain," katanya pada sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP, Putrajaya dekat sini, hari ini.

Sebelum ini, terdapat laporan berlakunya kenaikan harga ayam secara mendadak antaranya harga ayam standard di Johor Selangor, Kelantan dan Kedah.

Gambar hiasan. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Gambar hiasan. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Berita Harian X