Selasa, 19 Mei 2020 | 2:25pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - Foto Ikhwan Munir
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - Foto Ikhwan Munir

Elaun khas petugas barisan hadapan RM62 juta sudah disalurkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah menyalurkan elaun khas petugas barisan hadapan sejumlah RM62 juta sehingga 30 April lalu, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan memperuntukkan elaun berjumlah RM500 juta untuk petugas barisan hadapan dalam mendepani cabaran mengekang COVID-19.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Kewangan menerima aduan tentang kesukaran memohon elaun berkenaan disebabkan masalah birokrasi atau dokumentasi.

"Saya telah menerima aduan bahawa terdapat kesukaran memohon elaun ini. Kementerian Kewangan sedang bekerjasama dengan jabatan dan agensi berkaitan untuk memudahkan proses

"Apa-apa pun, jangan bimbang, kerajaan akan memastikan elaun akan sampai kepada petugas barisan hadapan yang layak," katanya ketika mengumumkan Laporan Laksana Ke-6 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) menerusi akaun rasmi Facebook miliknya di sini, hari ini.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Tambahan 2020 (PRE2020) kerajaan akan menyalurkan sejumlah RM600 secara one-off kepada pemandu pelancong bagi meringankan beban.

Katanya, bayaran berkenaan dijangka akan dibuat mulai 20 Mei kepada 8,000 pemandu pelancong.

"Kementerian Kewangan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melaksanakan proses untuk mengenalpasti dan semakan pemandu pelancong.

"Terima kasih di atas kesabaran dan kerjasama daripada pemandu pelancong," katanya.

Februari lalu, kerajaan mengumumkan pemberian elaun khas sebanyak RM400 sebulan kepada doktor serta kakitangan perubatan sebagai tanda penghargaan kepada petugas awam barisan hadapan di dalam memerangi COVID-19.

Kerajaan menyalurkan elaun khas RM200 juga apetugas Imigresen dan kakitangan lain yang terbabit.

Selain itu, bayaran secara 'one-off' sebanyak RM600 akan diberikan kepada pemandu teksi, pemandu bas persiaran dan pemandu pelancong serta penarik beca yang berdaftar.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X