Selasa, 19 Mei 2020 | 3:14pm
Menteri Pertanian dan Industri Makanan. - NSTP/Asyraf Hamzah
Menteri Pertanian dan Industri Makanan. - NSTP/Asyraf Hamzah

Rangka strategi tingkat SSL beras negara, jamin bekalan makanan

S: Sejauh mana sektor pertanian terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

J: Di peringkat awal, kelancaran rantaian makanan terganggu. Permintaan produk hasilan pertanian terutama daripada sektor perhotelan, restoran, katering, pembuatan makanan dan peruncitan tradisional termasuk pasar tani, pasar pagi, pasar raya serta pasar raya besar berkurangan. Saluran pengedaran dan pemasaran terhad menyebabkan pengurangan permintaan terhadap bekalan makanan.

Rentetan itu, premis pemasaran beroperasi tidak mampu menampung memasarkan hasil pertanian dalam kuantiti besar berpunca penurunan permintaan. Antara isu utama dihadapi termasuk lambakan hasil pertanian di beberapa kawasan, selain masalah penyimpanan dan pemprosesan. Keadaan ini menyebabkan pengusaha terpaksa menanggung kos penyimpanan stok selain meningkatkan risiko kerugian bagi lebihan produk yang tidak dapat disimpan serta dipasarkan.

Kerajaan melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan bekalan makanan
Kerajaan melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan bekalan makanan

Aktiviti pengedaran dan penawaran sektor agromakanan juga terjejas. Pengoperasian perkhidmatan pada tahap minimum dan majikan terpaksa mengehadkan pekerja. Disebabkan ini, pengoperasian syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama yang mengendalikan produk makanan, serta pergerakan syarikat logistik dan pengangkutan turut terjejas sehingga sukar untuk hasil pertanian sampai ke pasaran. Cabaran operasi juga dirasai aktiviti sokongan pertanian seperti penghantaran baja, racun, benih, makanan ternakan, kilang penghasilan kotak telur dan bahan keperluan pertanian lain yang memberi kesan kepada aktiviti pengeluaran dan penyediaan bekalan makanan.

Namun koordinasi antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhasil menanganinya dengan baik.

S: Apakah pakej rangsangan ekonomi diumum kerajaan membantu mengurangkan impak berkenaan?

J: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat memberi perlindungan kepada semua sektor termasuk pertanian. Pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) memberi manfaat kepada pengusaha sektor pertanian yang majoritinya kategori B40. Begitu juga pelbagai moratorium pembiayaan dan diskaun utiliti ditawarkan, sudah tentu memberi kelegaan kepada golongan sasar pertanian bagi meneruskan kelangsungan perusahaan masing-masing.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Tambahan untuk pengusaha mikro dan PKS pula memberi kesan positif kepada pengusaha agromakanan terutama pengusaha industri asas tani dan agropelancongan untuk terus kekal dalam industri masing-masing.

Kerajaan menerusi kerjasama pelbagai agensi akan terus memastikan bekalan makanan terjamin untuk rakyat. - Foto hiasan
Kerajaan menerusi kerjasama pelbagai agensi akan terus memastikan bekalan makanan terjamin untuk rakyat. - Foto hiasan

S: Apa usaha kementerian untuk menjamin kelancaran rantaian makanan?

J: Kita menggerakkan Program Pasar Segar Terkawal (PST) yang kini beroperasi di 144 lokasi seluruh negara. Pemasaran PST bagi tempoh PKP memberi fokus kepada kaedah pembelian terus, secara dalam talian, pra-tempahan dan pandu lalu.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menggerakkan inisiatif seperti memperluaskan premis pemasaran Agrobazaar Kedai Rakyat, Agrobazaar Rakyat, Desaraya, FAMACO dan jualan dalam talian melalui Agrobazaar Online, Lazada, Shopee serta pembekalan sayur dan buah kepada pasar raya besar. Nilai keseluruhan jualan melalui agensi terbabit setakat ini melebihi RM180 juta. Hasil jualan FAMA melalui Agrobazaar juga meningkat 15 kali ganda dalam tempoh PKP.

Aspek pemasaran dalam talian turut diperluas kementerian. Dalam hal ini, FAMA memainkan peranan lebih proaktif menjalin kerjasama erat dengan penggiat industri. Inisiatif dilaksanakan termasuk memadankan pengeluar atau pengusaha hasil pertanian di bawah jabatan atau agensi, dengan pengusaha platform e-marketplace sedia ada. Kerjasama juga dijalin dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di bawah Program eRezeki bagi platform perkhidmatan penghantaran. Terdapat 11 syarikat penghantaran secara pukal terbabit program ini serta sembilan syarikat penghantaran runcit.

Kementerian juga mengusahakan insentif pengeluaran kepada petani untuk meneruskan aktiviti penanaman dan mengekalkan bekalan makanan. FAMA memainkan peranan menemukan usahawan dengan pengeluar tempatan melalui Program Ladang Kontrak bagi memastikan hasil pertanian dapat dijual. Peserta dalam kalangan petani diberi jaminan harga lantai dengan kuantiti dan kualiti ditetapkan untuk mendapatkan harga berpatutan di peringkat ladang. Ini menjamin pasaran serta membantu petani mendapat modal bagi meneruskan musim penanaman seterusnya.

FAMA juga bekerjasama dengan jabatan serta agensi pengeluar dan mengenal pasti petani yang menghadapi masalah pemasaran hasil dan membuat belian terus di ladang.

Seorang pekerja mengangkat telur ayam di kedai pemborong. - Foto hiasan
Seorang pekerja mengangkat telur ayam di kedai pemborong. - Foto hiasan

S. Sejauh mana kedudukan Malaysia dalam isu keselamatan makanan?

J: Kedudukan Global Food Security Index (GFSI) negara meningkat daripada kedudukan 40 pada 2018 kepada 28 daripada 113 negara pada 2019 dengan skor 73.8 iaitu pada tahap 'pencapaian baik'. Kedudukan Malaysia lebih ke hadapan berbanding Korea Selatan (29) dan China (35).

Kedudukan pada 2019 juga bertambah baik dari segi kemampuan makanan (daripada 36 kepada 28) dan keberadaan makanan (daripada 38 kepada 42). Bagaimanapun kedudukan keselamatan makanan dan kualiti menurun daripada tangga 38 kepada 42. Walaupun kedudukan ini boleh dilihat agak selesa, ada ruang perlu ditambah baik, termasuk perbelanjaan kerajaan ke atas penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam agromakanan.

Sememangnya, GFSI bukan satu-satunya instrumen untuk melihat jaminan keselamatan makanan negara kerana kementerian juga melihat dari segi indikator lain seperti tahap sara diri (SSL), imbangan perdagangan (BOT) dan Indeks Harga Pengguna (CPI).

S: Apa peranan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Jaminan Makanan yang akan ditubuhkan?

J: Pada 29 April lalu, Kabinet bersetuju menubuhkan jawatankuasa berkenaan bagi menyelaras strategi serta pelan tindakan dalam menangani isu sekuriti makanan negara untuk jangka pendek, sederhana dan panjang. Jawatankuasa ini juga akan merangka Dasar Sekuriti Makanan Negara lebih holistik dan mampan bagi memperkukuh keselamatan makanan di semua peringkat rantaian makanan. Ia akan dipengerusikan Perdana Menteri dengan keahlian terdiri beberapa menteri.

Dari segi peranan, ia akan mendapatkan input dan pandangan pelbagai pihak berkepentingan termasuk ahli akademik, peserta industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta petani, penternak dan nelayan. Ini bagi memastikan dasar dirangka bersifat komprehensif dan mampu membantu kerajaan menangani isu sekuriti makanan secara berkesan.

Penubuhan jawatankuasa ini bertepatan dalam menjamin tahap sekuriti makanan sentiasa berada dalam keadaan stabil dari aspek ketersediaan, mudah diakses, selamat, berkualiti dan berkhasiat serta mampu diperoleh rakyat sepanjang masa, dalam apa juga keadaan. Jawatankuasa Kabinet ini juga akan memperkukuh dan menyelaras strategi serta pelan tindakan bagi menangani isu sekuriti bekalan makanan negara melalui kerjasama strategik merentasi sektor awam dan swasta agar segala inisiatif dirancang dapat dilaksanakan secara holistik dan bersepadu.

Pada masa sama, kerajaan akan turut menubuhkan satu jawatankuasa eksekutif di peringkat kementerian yang akan dipengerusikan saya sendiri. Jawatankuasa ini berperanan mencadangkan strategi dan pelan tindakan untuk dilaksanakan kementerian, jabatan dan agensi berkaitan. Ia juga akan mengawal selia dan memantau pelaksanaan keputusan dibuat Jawatankuasa Kabinet.

S: Negara masih berdepan isu keselamatan makanan. Apa komen Datuk Seri?

J: Melihat kedudukan terkini SSL dan sasaran kementerian sehingga 2025 (RMK-12), kementerian sedang bergerak dan berusaha mengurangkan defisit dengan meningkatkan tahap sara diri khususnya bagi komoditi makanan utama negara.

Import makanan negara pada 2019 meningkat 2.5 peratus kepada RM51.4 bilion berbanding RM50.1 bilion pada 2018. Bagaimanapun, defisit dagangan berjaya dikurangkan 6.5 peratus atau RM1.2 bilion pada 2019 berbanding 2018. Pengimportan bahan makanan masih perlu dilakukan bagi menampung kekurangan pengeluaran tempatan dan memenuhi permintaan dalam negara terutama bagi bahan makanan tidak ekonomik untuk dihasilkan dalam negara seperti buah-buahan dan sayur-sayuran beriklim sederhana. Contohnya gandum, bawang dan ubi kentang kerana harganya akan menjadi lebih tinggi daripada diimport selain faktor cuaca negara yang tidak sesuai.

Bagi SSL beras, kerajaan sentiasa memberi perhatian penuh dalam usaha memastikan makanan asas kepada rakyat terjamin setiap masa. Perkara ini dapat dilihat melalui peningkatan SSL beras sejak 10 tahun lalu yang meningkat daripada 63 peratus kepada 70 peratus. Usaha dan pendekatan perlu dilakukan bagi meningkatkan pengeluaran padi dan SSL beras negara, yang mana sedang diberi penekanan oleh kementerian bagi mengurangkan tahap kebergantungan terhadap beras import.

S: Apa inisiatif digerakkan untuk meningkatkan SSL beras kepada 75 peratus seperti disasarkan?

J: Kementerian merangka beberapa strategi baharu, antara lain meningkatkan produktiviti dan pengurusan sawah melalui beberapa pendekatan seperti pengurusan sawah berskala besar, pertanian pintar serta mengoptimumkan penggunaan mekanisasi dan automasi dalam industri padi. Kita juga menumpukan pembangunan infrastruktur pengairan di kawasan jelapang dalam RMK-12 termasuk memperkenalkan sistem pengairan dan takungan baharu seperti Sistem Takungan Air Bawah Tanah, sistem pengairan semula dan lain-lain. Kecekapan bantuan input juga dipertingkat bagi memastikan peningkatan produktiviti tanaman padi dengan melaksanakan kajian profil tanah bertujuan mengenal pasti tahap kesuburan tanah dan kesesuaian bantuan baja. Skim subsidi dan insentif pesawah juga direformasi agar lebih berhemat, cekap dan berkesan kepada pesawah bagi mencapai SSL disasar, selain meringankan beban kos pengeluaran ditanggung pesawah.

Prosedur operasi standard (SOP) khusus pengurusan lepas tuai juga dibangunkan bagi membantu pengurangan kehilangan lepas tuai, seterusnya meningkatkan pengeluaran dan pendapatan petani. Aspek R&D juga berterusan melalui pengenalan varieti benih baharu yang dapat meningkatkan hasil dan rintang (tahan) kepada penyakit.

S: Rakyat masih bimbang walaupun kerajaan beri jaminan bekalan makanan lebih daripada mencukupi?

J: Status semasa kedudukan bekalan makanan utama iaitu beras, daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan pada tahap stabil dan mencukupi. Stok semasa beras tempatan di peringkat kilang, pemborong dan peruncit berjumlah 534,005 metrik tan. Ini tidak mengambil kira pengeluaran padi tempatan yang berterusan, bekalan import beras yang stabil dan stok penimpal beras dalam negara.

Kementerian akan terus memantau bagi memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi untuk menampung keperluan bulanan negara sebanyak 200,000 metrik tan. Beras turut diimport dari negara pengeluar seperti Vietnam, Thailand, Pakistan, Myanmar, India, Kemboja dan lain-lain. Kerajaan juga mengarahkan Padi Beras Nasional (BERNAS) memastikan dan mempertingkatkan bekalan beras import dalam negara.

Bagaimanapun, kebergantungan kepada beras import hanya 30 peratus daripada keseluruhan keperluan dalam negara. Sehubungan itu, jumlah stok semasa beras dengan mengambil kira pengeluaran tempatan dan import adalah stabil, terkawal dan konsisten bagi menampung keperluan dalam negara yang berterusan. Rakyat tidak perlu bimbang mengenai bekalan beras di pasaran.

S: Apakah sasaran untuk mencapai matlamat SSL dalam pengeluaran makanan?

J: Usaha meningkatkan SSL beras negara menjadi agenda berterusan kementerian ini. Justeru, selain yang dinyatakan seperti peningkatan produktiviti dan sawah berskala besar bagi tujuan peningkatan SSL, usaha juga akan terus dipergiatkan melalui penggunaan automasi, mekanisasi dan inovasi tani serta menarik minat golongan belia untuk mengusahakan pertanian menggunakan teknologi baharu seperti dron, kilang tanaman, dan penggunaan aplikasi berasaskan internet kebendaan (IoT) dalam pengurusan ladang tanaman, pembangunan agro-robotik dan sebagainya.

Kementerian juga akan lebih fokus dalam melaksanakan kursus dan latihan kepada usahawan mikro dan PKS bagi menggalakkan penggunaan teknologi terkini melalui evolusi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) termasuk program berkaitan Teknologi Pemantauan Tanaman dan Agroteknologi 4.0 dron pemetaan untuk aktiviti pembajaan dan pembenihan, sensor kawalan jauh, stesen cuaca, aplikasi telefon bimbit.

Berita Harian X