Rabu, 20 Mei 2020 | 12:55pm
SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. - Foto BERNAMA
SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. - Foto BERNAMA

Sultan Terengganu titah rakyat patuhi PKPB ketika Aidilfitri

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, menitahkan seluruh rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika sambutan Aidilfitri ini.

Baginda bertitah, rakyat perlu terus berada dalam rumah dan sentiasa menjaga kebersihan diri bagi membantu kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19.

"Beta difahamkan, pengorbanan dan perkhidmatan diberikan petugas barisan hadapan serta kepatuhan rakyat kepada arahan pihak berkuasa, wabak COVID-19 di negeri ini dapat di kawal sepenuhnya.

"Beta dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, menzahirkan penghargaan terima kasih atas pengorbanan dan khidmat bakti pasukan barisan hadapan melaksanakan amanah sehingga wabak COVID-19, dapat dikawal sepenuhnya," titah baginda menerusi perutusan sempena ketibaan Aidilfitri Tahun 1441 Hijrah.

Sultan Mizan bertitah, walaupun negeri wabak COVID-19 di negeri ini berjaya dikawal sepenuhnya, tetapi rakyat perlu mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan sepanjang tempoh larangan PKPB.

"Dalam keriangan menyambut Aidilfitri, beta mengingatkan seluruh rakyat agar tidak lupa menghargai pengorbanan barisan hadapan yang berkerja membendung penularan wabak COVID-19 daripada terus merebak.

"Pasukan barisan hadapan termasuk anggota perubatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela berterusan mencurah bakti bagi memastikan rakyat dilindungi dan selamat sehingga membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana aman, tenteram, riang dan meriah, walaupun keadaan suasana terhad dan terbatas," titahnya.

Sultan Mizan bertitah, sambutan Aidilfitri tahun ini amat berbeza, solat sunat hari raya di masjid dan surau tidak dibenarkan, aktiviti ziarah menziarahi dan kunjung mengunjung dihadkan.

Titahnya, tiada lagi salam bersalaman dan tiada lagi majlis rumah terbuka yang menghidangkan juadah pelbagai rasa dan warna disebabkan wabak COVID-19, yang bukan sahaja melanda negara, malah di seluruh dunia.

"Tetapi suasana itu bukanlah penyebab untuk rakyat tidak meraikan kerana Aidilfitri adalah hari kebesaran umat Islam, yang perlu disambut dengan bertakbir dan bertahmid memuji keagungan Ilahi selain hari umat Islam merayakan kejayaan selepas dapat menyempurnakan ibadah puasa selama sebulan.

"Sambutlah Aidilfitri mengikut lunas ditetapkan syarak, lunas yang memiliki nilai ibadah agar amal ibadat dilakukan sepanjang Ramadan menjadi lengkap dan sempurna selain hindarkan diri daripada melakukan perkara dilarang termasuk pembaziran dan bermewah," titahnya.

Sultan Mizan menitahkan seluruh rakyat terus bersabar dan perbanyak doa ke hadrat Allah dalam menghadapi ujian wabak COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X