Rabu, 20 Mei 2020 | 2:38pm

Caj kuarantin hotel bermula 1 Jun

KUALA LUMPUR: Bermula 1 Jun ini, individu yang memasuki pintu masuk negara akan dikenakan caj kuarantin hotel.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata caj 100 peratus daripada kadar bayaran hotel dikenakan kepada bukan warganegara manakala 50 peratus bagi warganegara.

"Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan bagi mengenakan caj kuarantin hotel ke atas semua individu memasuki pintu masuk negara bermula 1 Jun 2020.

"Bagi warga tempatan, mereka diminta membayar 50 peratus daripada kadar penuh bayaran hotel iaitu separuh daripada (contohnya) RM150, bermaksud separuh ditanggung kerajaan, separuh ditanggung individu terbabit.

"Bagi bukan warganegara termasuk pemastautin tetap, mereka perlu menanggung sepenuhnya kos caj kuarantin hotel," katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata, MKN juga mewajibkan semua yang ingin pulang ke Malaysia menandatangani surat setuju pembayaran terbabit melalui pejabat Kedutaan Malaysia di luar negara.

Katanya, pejabat Kedutaan Malaysia kemudiannya akan mengeluarkan surat kelulusan untuk membenarkan individu terbabit pulang ke negara ini.

"Jabatan Imigresen Malaysia akan mengeluarkan arahan kepada semua syarikat penerbangan untuk memastikan surat kelulusan dijadikan syarat kepada semua penumpang," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan membenarkan ahli program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) kembali ke negara, namun bukan secara automatik.

Ismail Sabri menjelaskan, mereka perlu membuat permohonan terlebih dahulu bagi memudahkan kerajaan melihat dari negara mana mereka tiba.

"Jika mereka dari negara yang berisiko tinggi, mungkin keputusannya adalah tidak boleh. Bagaimanapun perkara itu akan ditentukan oleh pihak berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  •  Foto hiasan
    Foto hiasan
    Berita Harian X