Rabu, 20 Mei 2020 | 6:59pm
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, menyerahkan sayur-sayuran dan buah buahan untuk Program Central Kitchen seliaan JKM yang diwakilkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Junaidah Kamarruddin di Wisma Tani hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, menyerahkan sayur-sayuran dan buah buahan untuk Program Central Kitchen seliaan JKM yang diwakilkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Junaidah Kamarruddin di Wisma Tani hari ini. - Foto BERNAMA

FAMA sumbang lima tan sayur, buah

PUTRAJAYA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyumbangkan lima tan bekalan sayuran dan buah-buahan kepada 10 lokasi Central Kitchen di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata sumbangan bekalan makanan itu dapat memberi manfaat kepada 1,357 individu.

"Ini adalah antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) FAMA. Setiap lokasi Central Kitchen akan menerima 500 kilogram (kg) bekalan sayuran dan buah-buahan," katanya kepada media selepas Program Sumbangan Kepada Central Kitchen di bawah JKM dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.

Antara lokasi Central Kitchen terbabit adalah Asrama Sentosa, Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah, Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi (Kanak-kanak) dan Taman Sinar Harapan Tengku Ampuan Najihah.

Kiandee berkata, FAMA turut bekerjasama dengan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura memberi sumbangan berupa produk makanan kering keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhana kepada 150 rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura dalam tempoh PKP.

Sepanjang tempoh PKP, katanya, FAMA melaksanakan 43 CSR di seluruh Malaysia dan sumbangan diedarkan kepada golongan kurang berkemampuan seperti rumah kebajikan, persatuan, penduduk kampung dan barisan hadapan seperti polis.

Dalam pada itu, Kiandee berkata 53 outlet FAMA di seluruh Malaysia mencatat nilai jualan sebanyak RM65.49 juta dalam tempoh 1 April hingga semalam. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X