Khamis, 21 Mei 2020 | 2:19pm

COVID-19: Tiada lagi rentas negeri

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini memutuskan tidak membenarkan sama sekali pergerakan merentas negeri bagi mengelakkan penyebaran COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kenderaan yang cuba merentas negeri bukan hanya akan diarah berpatah balik tetapi juga turut dikenakan kompaun serta-merta di sekatan jalan raya.

"Justeru, orang ramai tidak perlulah lagi ke balai polis untuk mendapatkan surat kebenaran.

"Kita semua sedia maklum, semalam seorang perempuan positif Covid-19 akibat daripada rentas negeri.

"Kita tidak akan bertolak ansur lagi dalam soal rentas negeri ini," katanya pada sidang media di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, orang ramai masih lagi berdegil apabila jumlah mereka yang cuba melakukan pergerakan merentas negeri masih lagi ramai.

Semalam saja, beliau berkata sebanyak 2,412 kenderaan cuba merentas negeri dan dinasihatkan polis berpatah balik.

"Minat mereka yang ingin balik ke kampung sempena Aidilfitri ini masih tidak berubah walaupun setiap hari kita mengeluarkan nasihat," katanya.

Beliau memberi contoh semalam sahaja lebih 1,300 orang ramai beratur di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pahang untuk memohon kebenaran polis balik ke kampung.

"Mereka sanggup beratur di tengah panas dengan alasan untuk mencuba nasib. Jadi lepas ini tidak perlu susah payah beratur di balai polis," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, (kanan) memeriksa pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada sekatan jalan raya Bukit Yong yang menjadi sempadan antara Kelantan dan Terengganu dan jika tiada surat kebenaran akan diarahkan berpatah balik. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
    Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, (kanan) memeriksa pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada sekatan jalan raya Bukit Yong yang menjadi sempadan antara Kelantan dan Terengganu dan jika tiada surat kebenaran akan diarahkan berpatah balik. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
    Berita Harian X