X
Khamis, 21 Mei 2020 | 2:50pm
Petugas Jabatan Pejabat Daerah Tanah Petaling menghantar bantuan makanan kepada penduduk di Jalan Othman pada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD). Kementerian Kesihatan mengumumkan sudah menamatkan pemantauan terhadap 13 kluster pandemik COVID-19. - Foto Saifullizan Tamadi.
Petugas Jabatan Pejabat Daerah Tanah Petaling menghantar bantuan makanan kepada penduduk di Jalan Othman pada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD). Kementerian Kesihatan mengumumkan sudah menamatkan pemantauan terhadap 13 kluster pandemik COVID-19. - Foto Saifullizan Tamadi.

KKM tamatkan pemantauan 13 kluster

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengisytiharkan dua lagi kluster yang tamat menjadikan keseluruhan kluster yang ditamatkan sebanyak 13 kluster setakat ini yang disebabkan pandemik COVID-19.

Dalam satu kenyataan, 13 kluster itu masing-masing membabitkan Seksyen 6 Bandar Baru Bangi, warga emas (pusat jagaan warga emas), Bandar Baru Bangi (majlis perkahwinan), Selayang (pasar harian), Rembau dan Tabligh Pakistan.

Selain itu, ia turut merangkumi kluster petugas kesihatan Sungai Buloh, Pekan, kilang Pasir Gudang, penduduk Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM), Tabligh Makassar Sabah, Pengerang dan Istana Negara.

"Kluster berkenaan diisytiharkan 'tamat' bermakna tiada lagi kes baharu dicatatkan berdasarkan tempoh masa yang ditetapkan.

"Kriteria utama untuk menamatkan sesuatu kluster adalah tiada kes baharu selepas dua kali tempoh inkubasi yang mengambil masa selama 14 hari atau satu inkubasi iaitu 28 hari selepas tarikh gejala bagi kes yang terakhir atau tarikh positif COVID-19 jika kes terakhir tiada gejala," katanya di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, sebagai contoh, kluster A, tarikh positif kes terakhir (tiada gejala) dalam kluster tersebut ialah 1 April, ini bermakna jangkaan tamat bagi kluster A ialah 29 April.

Dalam hal ini, tempoh antara 1 hingga 29 April adalah bersamaan 28 hari.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X