Khamis, 21 Mei 2020 | 5:35pm
Anggota polis bertanya sesuatu kepada pengguna Lebuhraya PLUS menghala arah utara berhampiran susur Plaza Tol Tanjong Malim pada sekatan jalan raya. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Anggota polis bertanya sesuatu kepada pengguna Lebuhraya PLUS menghala arah utara berhampiran susur Plaza Tol Tanjong Malim pada sekatan jalan raya. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

'Tiada surat, patah balik'

HULU SELANGOR: Polis Selangor memberi peringatan kepada pengguna jalan raya untuk tidak membuang masa dengan cuba melakukan perjalanan rentas negeri keluar dari Selangor tanpa kebenaran.

Ini kerana, mereka bakal ditahan dan disaman sebelum diarah berpatah balik ke kediaman asal sekiranya didapati cuba pulang ke kampung meraikan Aidilfitri.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata setakat ini pihaknya mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) iaitu di susur masuk Putra Mahkota, Bangi dan susur masuk ke Tanjung Malim, Kalumpang; persimpangan Majestic, Lebuhraya LEKAS; Plaza Tol Gombak, serta laluan utama lain.

"Apabila mereka ini cuba melakukan kesalahan merentas negeri, mereka akan berhadapan dengan kesesakan teruk akibat sekatan polis, disaman dan diarah berpatah balik.

"Sekiranya mereka berjaya lolos pemeriksaan di Selangor, belum tentu mereka akan lepas dari sekatan ketika menuju ke kampung halaman mereka," katanya selepas meninjau SJR di susur masuk Tanjung Malim, Lebuhraya PLUS, di sini, hari ini.

Beliau berkata tindakan yang bakal dialami individu yang masih berdegil ini bakal merugikan diri mereka selain membuang masa.

"Tujuan utama kita adalah menyekat penyebaran dan penularan pandemik COVID-19 demi kesejahteraan semua pihak dan itulah tujuan utama penguatkuasaan polis dibuat," katanya.

SJR dan pemeriksaan oleh Pasukan Pemantau Polis Selangor di kawasan perumahan dan kampung pada musim perayaan ini akan dilakukan sehingga musim perayaan berakhir.

Tinjauan BH sejak jam 10 pagi hingga 4 petang tadi, kesesakan teruk sepanjang lebih 10 kilometer dikesan berlaku di Lebuhraya PLUS iaitu dari susur keluar Lembah Beringin menuju ke utara ekoran SJR di susur masuk Tanjung Malim dan dari susur masuk Bangi menuju ke Selatan selepas SJR diadakan di Putra Mahkota.

Selain itu polis turut mengadakan SJR di Plaza Tol Jalan Duta bagi setiap kenderaan yang ingin menuju ke utara dan Klang.

Lebih 50 peratus kenderaan yang diperiksa membabitkan kenderaan perdagangan.

Berita Harian X