Khamis, 21 Mei 2020 | 6:11pm
Mohamed Aqil Azmi dan Zad Chin Qi Qi, bakal ke Kolej Harvard, sekolah sarjana bagi Universiti Harvard. - Foto Twitter
Mohamed Aqil Azmi dan Zad Chin Qi Qi, bakal ke Kolej Harvard, sekolah sarjana bagi Universiti Harvard. - Foto Twitter

Dua pelajar Malaysia bakal ke Harvard

KUALA LUMPUR: Satu lagi pencapaian membanggakan buat Malaysia, apabila dua pelajar muda, Mohamed Aqil Azmi dan Zad Chin Qi Qi, bakal ke Kolej Harvard, sekolah sarjana bagi Universiti Harvard yang terkenal di seluruh dunia.

Kelab Harvard Malaysia, menerusi kenyataan hari ini, memaklumkan, kedua-dua pelajar itu akan menjadi sebahagian daripada kelas sarjana bagi tahun 2024.

Menurut kenyataan itu, Mohamed Aqil, 20, anak kelahiran Shah Alam, Selangor, bakal mengambil jurusan Matematik dan Falsafah, manakala Zad Chin, 20, pelajar perempuan dari Ipoh, Perak, merancang mengambil jurusan Sains Komputer dan Pengajian Sosial.

"Kedua-dua pelajar pada masa ini sedang mengikuti pengajian A-Level di Kolej Yayasan UEM di Lembah Beringin, Selangor.

"Mohamed Aqil dan Zad Chin akan memulakan pengajian peringkat sarjana mereka apabila Kolej Harvard dibuka semula bagi tahun akademik yang baharu," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, terdapat sejumlah 40,248 permohonan untuk memasuki kelas pengajian Kolej Harvard bagi tahun 2024, namun hanya 1,980 pelajar diterima masuk dengan hanya 10.8 peratus pelajar antarabangsa.

Untuk rekod, kali terakhir pelajar Malaysia diterima masuk ke Kolej Harvard adalah pada 2017. – BERNAMA

Berita Harian X