Jumaat, 22 Mei 2020 | 2:11pm
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. -- Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. -- Foto BERNAMA

Muhyiddin zahir pengiktirafan terhadap petugas barisan hadapan tangani COVID-19

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan terhadap semua petugas barisan hadapan dalam memutuskan rantaian wabak COVID-19 di negara ini.

Bercakap pada sidang video kira-kira 30 minit bersama barisan hadapan negara yang terbabit dalam menangani COVID-19, Muhyiddin berkata, pengiktirafan berkenaan bukan sahaja diberikan di negara malah di peringkat antarabangsa.

"Usaha yang telah dilakukan ini telah memberi kesan. Ini adalah sesuatu yang kita patut berbangga bahawa Malaysia antara yang terbaik di dunia dari segi pengurusan wabak COVID-19.

"Saya rasa ia satu pengiktirafan, kredit (penghargaan) kepada semua yang terbabit dan bekerja keras selama ini," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, pengurusan kesihatan Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia.

"Ini satu kredit yang saya cukup bangga dan saya kira ini satu contoh bahawa memang kita berupaya sebab itu walaupun nampaknya graf (COVID-19) sudah menurun tetapi belum sampai ke paras mendatar," katanya.

Muhyiddin berkata, inisiatif berkenaan perlu diteruskan "rakyat harus ke depan untuk memainkan peranan juga, jadi saya hendak ucapkan terima kasih kerana berpeluang bercakap secara santai".

Beliau sekali lagi mengiktiraf peranan dan sumbangan besar yang dimainkan oleh semua pihak untuk membantu meletakkan Malaysia di satu keadaan yang lebih baik daripada masa-masa lepas.

Sidang video itu disertai wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X