Jumaat, 22 Mei 2020 | 5:02pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi. - Foto BERNAMA
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi. - Foto BERNAMA

KPDNHEP sentiasa pantau harga barangan keperluan

KUALA LUMPUR: Dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) lambat bertindak mengawal harga barangan menjelang musim perayaan disifatkan tidak berasas.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata dakwaan itu turut mengelirukan orang awam dan menyebabkan pegawai dan anggota penguat kuasa kementerian itu dikritik walaupun bertungkus lumus menjalankan kewajipan.

"Saya juga terkilan dengan dakwaan Anwar yang membuat dakwaan bahawa kononnya harga ayam pada musim perayaan (Aidilfitri) ketika zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah adalah RM3 sekilogram, berbanding harga ketika ini RM7.50 sekilogram.

"Jika Anwar terlupa, saya ingin mengingatkan beliau, pemeriksaan rekod yang diwartakan sebelum ini mendapati sebenarnya harga maksimum ayam ketika itu adalah RM7.50 sekilogram sama seperti ditetapkan dalam Skim HArga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) ketika ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexander berkata, Anwar juga boleh bertanya semula kepada bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi mendapatkan kepastian kerana warta SHMMP ketika itu ditandatangani olehnya.

Justeru, beliau berkata, penetapan harga barangan pengguna bukan bersifat politik sebaliknya menggunakan mekanisme tertentu yang ditetapkan oleh pegawai pelbagai agensi kerajaan berkaitan.

"Sebenarnya dalam SHMMP kali ini, KPDNHEP membuat penambahan barang kawalan iaitu sebanyak 35 barangan berbanding 27 barangan pada tahun lalu ketika negara berada di bawah pentadbiran PH," katanya.

Dalam pada itu, Alexander menjelaskan, hujah harga barang agak murah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tidak sesuai digunakan kerana ketika itu permintaan menurun disebabkan banyak aktiviti perniagaan dan kehidupan seharian rakyat disekat.

"Ia menyebabkan lebihan bekalan, seterusnya memaksa peniaga dan pembekal menurunkan harga.

"Keadaan ketika ini agak berbeza kerana selepas kelonggaran diberikan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kebanyakan aktiviti ekonomi dan kehidupan rakyat sudah kembali seperti biasa," katanya.

Berita Harian X